Wednesday, March 11, 2015

Cerpen- Air mata malam pertama.

 
Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan. Dah masuk waktu maghrib rupanya. Masih banyak lagi barang-barang yang belum dikemaskan. Penat juga nak kemaskan semua ni.

"Nanti kite kemas lepas ni. Mari solat maghrib dulu." Ujar ayah padaku.
Adik-adik sibuk bentangkan tikar dan sejadah di ruang solat. Begitulah selalunya apabila kami berkumpul.

Solat berjemaah adalah saru agenda yang tidak boleh dilupakan. Semua orang telah siap sedia menunggu sewaktu aku keluar dari berwudhuk di bilik air.

Aku cepat-cepat mengenakan telekung dan memasuki saf bersama emak, kakak dan adik. Selesai je iqamah, ayah memberikan penghormatan kepada suamiku untuk menjadi imam.

Dia kelihatan serba salah dengan permintaan ayah itu.

Dia merenung ke arahku. Aku hanya mengangguk sebagai isyarat supaya dia memenuhi permintaan ayah itu.

Maka dengan tenang, dia mengangkat takbir. Menjadi imam solat maghrib kami pada malam itu.

Betapa hatiku tenang sekali menjadi makmumnya. Dengan bacaan yang jelas dan merdu itu membuatkan aku berasa kagum dengan suamiku itu.

Mungkin tepat pilihan ayah dan mak buatku. Bacaannya lancar lagi fasih. Bagaikan seorang arab yang menjadi imam.

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau tersilap. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami."

"Wahai Tuhan kami! Jangan Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang tidak terdaya kami memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami."

"Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami daripada isteri dan suami serta zuriat keturunan yang boleh menjadi cahaya mata buat kami dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang muttaqin."

Dia membaca doa dengan khusyuk memohon kepada Tuhan setelah selesai solat. Kami bersalaman.

Aku mendekati suamiku sambil menghulurkan tangan. "Bang, maafkan Ana!" Bisikku perlahan sewaktu mencium tangannya.

Dia kemudiannya mengucupi dahiku sebagai tanda kasih yang tulus. "Sayang tak ada apa-apa salah dengan abang." Ujarnya sambil tersenyum merenung wajahku. Selepas berwirid dan berzikir, dia bangun menuju ke halaman rumah.

"Abang nak ke mana tu?" Soalku. "Nak kemaskan barang-barang kat bawah tu. Ada sikit lagi." Jawabnya.

"Dah la tu. Rehat jelah. Esok kita boleh sambung lagi."Aku kesian melihatnya, keletihan.

"Betul kata Ana tu Zul. Sambung esok sajalah." Sampuk ayah yang tiba-tiba mendengar perbualan kami. Emak pun mengangguk menyetujui sarananku itu.

"Takpelah ayah, Ana. Sikit aje tu. Kejap je saya buatnya."

Dia masih berkeras sambil berlalu turun ke halaman rumah untuk mengemas beberapa peralatan yang masih lagi berada di bawah khemah. Aku menukar pakaian, kemudian keluar membantu suamiku mengemas barang-barang di halaman rumah.

Dia kelihatan asyik tanpa menyedari kehadiranku. Semua barang-barang telah dikemasnya. Aku mencapai kain pengelap dan mula mengelap meja.

"Bila Ana turun?", soalnya apabila menyedari aku sedang mengelap meja, "Baru aje. Asyik sangat abang buat kerja sampai tak sedar Ana datang."

"Maafkan abang sayang", Dia menghampiriku. "Sayang tak marahkan?" Soalnya lagi sambil memeluk pinggangku erat.

Aku merenungnya, kemudian mengeleng-ngeleng sebagai tanda aku tak ambil hati pun pasal tu. Dia tersenyum sambil menghadiahkan satu ciuman di pipiku.

"Ish..abang ni! Nanti dilihat orang, malu kita", Rungkutku tersipu-sipu.

Nanti malu juga kalau dilihat oleh ahli keluargaku. "Apa nak malu, kan sayang ni isteri abang." Jawabnya tersenyum.

"Tau la, tapi tengok la keadaan dan tempat. Kalau kita berdua saja, lebih dari cium pun Ana bagi." "Betul ni?" Soal suamiku cepat-cepat. "Ish..Gatal la abang ni!", Dia cuba mengelak dari menjadi mangsa cubitan tanganku.

Aku terasa bahagia disayangi begini. Inilah pertama kali dalam hidupku merasai betapa nikmatnya cinta dan kasih sayang seorang kekasih hati yang aku sayangi.

Aku tidak pernah terlibat dengan cinta walaupun semasa aku di universiti dulu.

Dan pada tika ini, aku akan menikmatinya selepas perkahwinan. Cinta seorang suami terhadap seorang isteri.

Walaupun begitu, masih ada sedikit rasa takut di hatiku.

Aku takut aku tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Aku takut aku tidak mampu untuk menjadi seorang isteri yang solehah dan mulia dalam hidup suamiku.

"Apa yang Ana menungkan ni?" Soalan itu mengejutkan aku dari lamunan. Aku berehat sekejap di atas kerusi batu dalam taman di halaman rumah setelah selesai mengemas barang-barang.

"Abang ni, terkejut Ana tau!" Aku buat-buat merajuk.

Saja nak menduga bagaimana suamiku memujuk. "Alaa..sayang ni..macam tu pun nak marah." Usiknya sambil mencubit pipiku.

"Nampak gayanya terpaksalah abang tidur bawah katil dengan nyamuk-nyamuk malam ni sebab isteri abang dah merajuk. Kesian kat abang yea!" Aku mula tersenyum dengan kata-kata suamiku itu.

Pandai juga suamiku buat lawak nak memujuk aku.

"Sayang…" Seru suamiku sambil merangkul tubuhku, "Sayang nak honeymoon kemana?" Tak terfikir pulak akau pasal honeymoon tu.

Aku pun tak ada apa-apa plan atau cadangan pasal tu. "Ana ikut aje ke mana abang nak bawa." "Kalau abang bawa ke bulan atau bintang, sayang nak ikut ke?" Guraunya.
"Banyak ke duit abang nak bayar tambang roket dan nak beli set bajunya nanti?" Soalanku itu membuatkan suamiku pecah ketawa.

"Nanti sayang nak berapa orang anak?" Soalnya lagi setelah ketawanya reda. "Abang nak berapa?" Soalku kembali tanpa menjawab soalannya.

"Abang nak sebanyak mungkin. Larat ke sayang nanti?" "Ish…abang ni. Abang ingat Ana ni kilang anak ke?" Sekali lagi suamiku ketawa.

Nampaknya dia adalah orang yang mudah ketawa. "Takdelah macam tu. Tapi abang suka kalau kita ada anak yang ramai. Sama banyak lelaki dan perempuan."

"Insya Allah, kalau ada rezeki nanti Ana sanggup."

Penjelesanku itu membuatkan suamiku tersenyum gembira. "Ni yang buat abang tambah sayang ni." Satu lagi kucupan mesra singgah di pipiku.

Aku terasa bahagia diperlakukan begitu. Aku punyai suami yang baik dan penyayang.

Aku rasa dilindungi.

"Zul, Ana! Jom kita makan dulu!" Suara mak memanggil. "Mari bang! Ana pun dah lapar ni." Ajakku sambil memimpin tangannya.

Kami bangun beriringan masuk ke dalam rumah untuk menghadapi hidangan makan malam.

Rasa lapar la juga kerana sejak tadi lagi asyik layan tetamu dan buat kerja aje sampai lupa untuk makan.

Seronok sangat dengan kahadiran kawan-kawan rapat serta gembira dianugerahi seorang suami yang baik. Sudah beberapa hari aku asyik memikirkan pasal pertunanganku.

Terlalu sukar untuk aku menerimanya. Tambah lagi dengan lelaki yang tidak pernah kukenali.

Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Kehidupan yang memerlukan persefahaman sepanjang hidup.

Tanpa persefahaman dan tolak ansur, mustahil dua jiwa dan dua hati boleh bersatu dalam menjalani hidup sebagai suami isteri.

Tidak sedikit cerita yang aku dengar tentang rumah tangga yang hanya mampu betahan buat seketika atau separuh jalan sahaja.

Kemudian pecah berkecai umpama kapal dipukul badai. Berselerak dan bertaburan.

Apatah lagi kalau dah dikurniakan anak. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan.

"Mampukah aku menerima suamiku nanti sepenuh hatiku? Mampukah aku menyediakan seluruh ruang isi hatiku ini buat suamiku itu?

Bahagiakah aku bila bersamanya nanti?" Bertalu-talu persoalan demi persoalan menerjah benak fikiranku.

Aku rasa amat tertekan dengan keadaan ini. Bukan aku tak fakir pasal rumah tangga, tapi aku masih belum bersedia untuk melaluinya.

"Ya Allah, bantulah aku dalam membuat keputusan. Tunjukkanlah aku jalan penyelesaian. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian dalam menentukan masa depan hidupku."

"Ya Allah, aku benar-benar tersepit antara kehendak orang tuaku dan persaan hatiku sendiri. Kiranya ia baik buatku, maka berilah aku redha dalam menerimanya wahai Tuhan."

Indahnya kuperhatikan suasana kamarku. Aku sendiri yang menghiasinya. Kamar malam pertamaku bersama seorang lelaki yang bergelar suami.

Kamar yang akan menjadi saksi bisu bila mana aku menyerahkan khidmatku pada seorang suami. Kegusaran dan sedikit gentar mula bertandang dalam sanubari.

Aku rasa takut sendirian untuk melalui keindahan malam pertama ini. Bagaimanakah akan melayani suamiku nanti?

Ketukan pada pintu bilik membuatkan hatiku bertambah gusar. Dari tadi lagi aku hanya duduk di birai katil.

"Masuklah, pintu tak berkunci." Aku bersuara perlahan. Aku pasti, itu adalah suamiku.

Dia masuk, kemudian menutup pintu bilik kami dengan perlahan.

Dia kemudiannya menghampiri dan duduk di sisiku. "Kenapa asyik termenung aje ni? Sayang tak gembirakah bersama abang?"

Aku tak menyangka soalan itu yang diajukan oleh suamiku tatkala ketakutan di malam pertama begitu membanjiri jiwaku.

Aku hanya mampu mengeleng-ngeleng. Aku sendiri tak tahu apa jawapan yang terlebih baik untuk soalan suamiku itu.

"Habis tu apa yang sayang menungkan ni?", "Ana takut bang!" Itulah aku rasa jawapan yang tepat bagi menjawab soalannya. Dia memelukku erat sambil membelai rambutku.

"Apa yang nak ditakutkan? Abangkan ada. Abang akan bantu dan tolong sayang. Kita sama-sama bina keluarga kita." Pujuk suamiku.

"Ana takut Ana tak mampu untuk menjalankan tugas sebagai isteri abang. Ana banyak kelemahan bang. Ana takut nanti Ana akan mengecewakan abang. Ana takut.."

Aku tidak sempat untuk meneruskan kata-kataku kerana suamiku telah meletakkan telunjuknya di bibirku tanda tidak membenarkan aku menghabiskan bicaraku.

Terkebil-kebil mataku memandangnya.

"Sayang, abang terima sayang sebagai isteri abang seadanya. Abang terima segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada sayang. Usahlah sayang risaukan pasal itu. Ok sayang!"Bisiknya. Aku memeluknya syahdu di atas penerimaannya terhadapku.

"Sayang, abang nak mandi kejap. Badan ni dah rasa macam melekit."

Aku bangun membuka almari pakaian dan mencapai sehelai tuala serta kain pelikat.

Kuhulurkan kepadanya dengan penuh kasih sayang.

Dia tersenyum kepadaku dan mencium pipiku sebelum berlalu ke bilik air.

Kemudian aku terdengar siraman air terjun ke lantai. Malam berarak perlahan. Langit kelihatan gelap pekat tanpa bulan dan bintang.

Mungkin sekejap lagi hujan akan mencurah, membasahi bumi yang sudah beberapa hari merindui titis air untuk membajai ketandusannya.

"Ayah, mak! Ana dah buat keputusan." Beritahuku sewaktu kami sedang berehat di beranda rumah pada suatu hari.

Ayah yang sedang membaca akhbar dan emak yang sedang menyulam tiba-tiba memandangku serentak, kemudian berpaling sesama sendiri.

"Keputusan tentang apa?" Soal ayah inginkan kepastian. Mungkin mereka tertanya-tanya keputusan apakah yang telah kubuat. "Pasal peminangan tu." Ujarku.

Ayah dan emak kembali merenungku. Mereka memberikan perhatian kepada apa yang bakal aku beritahu.

Keputusan yang telah kubuat setelah berfikir baik dan buruknya. Keputusan yang bakal menentukan masa depan arah perjalanan hidupku.

"Kiranya ini takdir Tuhan, maka Ana redha dengan jodoh yang ayah dan emak pilih." Terasa pilu sekali hatiku sewaktu meluahkannya.

Ada sedikit titis jernih jatuh ke riba. Aku mengesatnya dengan hujung jari.

Emak bangun dan memelukku. Aku tidak tahu apakah ertinya pelukan emak itu.

Pelukan gembira oleh kerana aku menerima pilihan mereka atau pelukan untuk menenangkan jiwaku yang sedang berkecamuk dan sedih ini?

Hanya emak yang tahu hakikatnya.
"Syukurlah, moga Ana bahagia nanti." Ucap ayah padaku.

Aku terpaksa berkorban demi untuk melihat senyuman di bibir ayah dan emak walaupun hatiku sendiri terpaksa menangis.

Tapi adalah terlebih baik bagiku memakan hatiku sendiri daripada memakan hati orang tua ku.

"Nanti mak kenalkan dia pada Ana." Ujar emak sambil tersenyum kerana keputusanku memihak kepada mereka.

"Tak payahlah mak. Kenalkan pada Ana di hari perkahwinan tu aje." Aku rasa lebih baik demikian kerana selepas ijab Kabul aku sudah tidak punyai pilihan lain selain daripada menerima walaupun dengan terpaksa lelaki pilihan ayah dan emak ku itu sebagai suamiku.

Aku tidak mahu pertemuan sebelum ijab kabul nanti akan menyebabkan aku berbelah bagi dengan keputusan yang telah aku buat.

"Kenapa pula macam tu? Kan lebih baik kalau Ana berkenalan dahulu dengannya." Ayah mempersoalkan keputusanku itu.

"Ana telah memenuhi kehendak ayah dan mak dengan menerima pilihan ayah dan mak. Tak bolehkah ayah dan mak memenuhi permintaan dan kehendak Ana pula?" Aku berlalu meninggalkan mereka dalam keadaan tercengang dengan permintaan ku itu.
Aku siapkan kamar tidur seadanya. Aku letakkan pakaian persalinan buat suamiku di atas katil. Aku menunggunya keluar dari bilik air.

Aku sendiri telah bersiap-siap menukar pakaian malam menanti suamiku itu dengan penuh debaran. Kedengaran pintu bilik air dibuka.

Dia keluar sambil tersenyum ke arahku. "Sayang, boleh tak ambilkan abang segelas air. Dahagalah." Pintanya sambil mengelap-ngelap badannya dengan tuala di tangan.
"Baik bang. Bang, ni baju abang." Ujarku sambil bangun untuk ke dapur.

Sewaktu aku keluar, lampu di ruang tamu semuanya telah dipadamkan. Kulihat jam dah dekat pukul 1 pagi.

"Patutlah." Bisik hatiku. Aku meneruskan langkahku ke dapur dalam smar-samar cahaya bilik yang masih lagi terpasang.

Kupenuhkan labu sayung dengan air masak dan ku capai sebiji gelas. Aku membawa kedua-duanya menuju ke bilik.

Suasana malam agak sunyi. Tiada bunyi cengkerik atau cacing tanah. Cuma kat luar sana kadang-kadang langit kelihatan cerah diterangi cahaya kilat memancar.

Malam yang pekat bakal mencurahkan hujan. Sewaktu aku melangkah masuk ke bilik, kelihatan suamiku sedang khusyuk berdoa atas sejadah.
Mulutnya terkumat kamit tanpa kutahu butir bicaranya. Kutuangkan air kedalam gelas dan kuletakkan atas meja menanti suamiku selesai berdoa.
Kemudian dia bangun menghampiriku. Aku menghulurkan gelas air kepadanya.

"Bang…."Seruku. "Ada apa sayang?" Soalnya apabila melihat aku tersipu-sipu kearahnya. "Malam ni abang nak…..nak….."Agak segan untuk kuteruskan pertanyaan itu.

Suamiku masih lagi menanti persoalan yang kutanya… " Nak apa sayang?" Soalnya lagi sambil tersenyum. "Ah..abang ni…"Aku malu sendirian apabila melihat suamiku seolah-olah dapat membaca fikiranku.

"Ya, abang nak sayang layan abang malam ni. Boleh tak?" Bisiknya ketelingaku. Aku hanya mampu mengangguk-angguk tanda bersedia untuk melayani segala kehendak dan kemahuannya.

Aku cuba untuk mempersiapkan diri sebagai seorang isteri yang mampu menyediakan dan memenuhi segala keperluan dan kemahuan suamiku itu.

"Assalamualaikum, wahai pintu rahmat!" Bisik suamiku. "Waalaikumussalam wahai tuan pemilik yang mulia." Jawabku.

Malam yang gelap kehitaman itu kulaluinya bertemankan seorang lelaki yang telah kuserahkan kepadanya seluruh jiwa dan ragaku ke dalam tangannya.

Dia berhak segala-galanya keatasku. Sebagai seorang isteri, aku mesti sentiasa patuh kepada segala arahan dan suruhannya selagi mana ia tidak bercanggah dengan ketetapan Tuhan dan Rasul.

Pertama kali kulalui dalam hidupku, malam bersama seorang lelaki yang telah dihalalkan aku keatasnya. Aku umpama ladang dan suamiku itu adalah peladang.

Ia berhak mendatangiku mengikut sekehendak hatinya.

Aku telah membaca beberapa buah buku tentang alam perkahwinan, rumahtangga dan tanggungjawab seorang isteri apabila aku menerima pilihan emak dan abah terhadapku.

Aku cuba untuk mempraktikkannya selagi aku termampu untuk melakukannya.

Aku cuba menjadi yang terbaik bagi suamiku. Aku ingin suamiku bahagia bersamaku.

Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.

Rasulullah bersabda: "Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada."

Rasulullah bersabda: "Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu." Rasulullah bersabda: "Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia."

Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu."

Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya.

Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong-menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya.

Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama. Ia amat mustahil sekali.

Maka seharusnya kita perlu mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang perkahwinan dengan pelbagai ilmu.

Ilmu kekeluargaan, ilmu keibu bapaan, psikologi kanak-kanak dan sebagainya.

Jangan cuba untuk menghampirinya selagi mana kita belum benar-benar bersedia untuk menghadapinya.

Jangan kita fikirkan tentang nafsu semata-mata. Fikirkan sama tentang tanggungjawab yang bakal kita pikul nanti. Tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri, tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun ibu.

Mampukah kita semua memenuhi atau menunaikan tanggungjawab dan tuntutan itu. Kita pastinya akan dipersoalkan tentang pertanggungjawaban itu.

Sama ada di dunia mahaupun di hadapan Tuhan nanti.

Kerana tanggungjawab itu adalah amanah yang perlu ditunaikan oleh setiap orang.

Bunyi batuk yang berlarutan menyebabkan aku tersedar dari tidur istimewaku malam ini.

Sewaktu aku membuka mata, aku lihat suamiku sedang bersimpuh diatas sejadah.

Dia mengurut-urut dadanya menahan batuk. Aku bingkas bangun, turun dari katil dan menghampirinya. "Abang tak apa-apa?" Soalku risau dengan keadaannya.

Aku mula risau, takut-takut suamiku itu mempunyai penyakit-penyakit tertentu yang tidak aku ketahui.

"Abang ok je. Mungkin sejuk sikit kot."Jelasnya. Mungkin juga. Hawa dinihari itu sejuk sebab hujan masih lagi bergerimis selepas mencurah lebat semalam.

"Pergilah mandi, ayah dan semua orang sedang menunggu kita untuk berjemaah di luar tu." Arah suamiku sambil tersenyum merenungku dengan pijama itu. Aku malu sendirian bila mata suamiku menyorot memerhati seluruh tubuhku itu.

"Nakallah abang ni." Aku bangun mencapai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi. Aku masih lagi terdengar batuk-batuk dari luar. Ayah mahu suamiku mengimami solat subuh itu, tapi suamiku menolak dengan alasan dia batuk-batuk dan tak berapa sihat.

Namun ayah masih berkeras, maka terpaksalah dia menjadi imam. Kesian aku melihatnya. Bacaannya tidak selancar semalam. Banyak tersangkut dan terpaksa berhenti atau mengulanginya kerana asyik batuk-batuk sahaja. Aku mula risau lagi dengan keadaan begitu.

Selepas beriwirid pendek, dia membacakan doa dengan perlahan tapi masih boleh didengari oleh semua ahli keluargaku.

Aku lihat muka suamiku agak kepucatan. "Kenapa ni bang?" Soalku sewaktu bersalaman dengannya. " Entahlah, abang rasa kurang sihat sikit pagi ni.."

"Zul sakit ke?" Tanya ayah. "Takdelah, cuma kurang sihat sikit. Mungkin sebab cuaca kot."Jawabnya. "Elok makan ubat, nanti takut melarat pulak." Sampuk mak. "Nanti Ana ambilkan ubat."

Aku bangun ke dapur untuk mengambil ubat dalam rak ubat. Ubat-ubatan asas sentiasa tersimpan dalm rak ubat di rumahku.

Ini bagi memudahkan bagi tujuan rawatan segera kalau ada apa-apa berlaku. Aku ambil sebotol ubat batuk dan segelas air.

Suamiku sudah masuk ke bilik. Batuknya agak berkurangan sedikit dari tadi. Mungkin betul juga ia ada kaitan dengan keadaan cuaca yang sejuk.

Dia menghirup sirap batuk yang kusuapkan. "Terima kasih." Ucapnya perlahan. Aku angguk. "Abang berehatlah." Ujarku sambil membaringkan badannya ke atas tilam.

"Abang minta maaf kerana menyusahkan sayang." " Kenapa pula abang cakap macam tu. Sikit pun Ana tak rasa susah."

"Abang tahu sayang susah hati tengok abang begini. Sepatutnya hari pertama begini, abang kena membahagiakan sayang. Tapi abang minta maaf sebab keadaan abang tak mengizinkan."

"Dahla tu bang. Ana isteri abang. Ana sentiasa bersedia berkhidmat untuk abang tanpa sedikit pun rasa susah.", Pujukku walaupun sebenarnya hatiku memang runsing dengan keadaannya.

"Walau apapun yang berlaku, abang tetap sayang dan cintakan sayang. Sayanglah satu-satunya buah hati abang." Sambung suamiku tanpa menghiraukan nasihatku supaya dia berehat saja.

Entah kenapa tiba-tiba sahaja hatiku dilanda kesedihan. Entah darimana ia berputik.

"Abang minta maaf atas segalanya. Sayang maafkan abang yea" "Abang nak tidur dulu. Mengantuk rasanya." Ujarnya perlahan. "Abang tidurlah."
Aku menarik selimut untuk menyelimutinya. Aku menciumi dahinya.

Sekejap sahaja dia terlena selepas mulutnya terkumat kamit membacakan sesuatu. Aku memerhatikan suamiku buat seketika.

Tidurnya kelihatan tenang dengan susunan nafas yang teratur. Aku suka melihat wajahnya yang memberikan ketenangan buatku.

Wajahnya yang agak bersih dihiasi dengan kumis dan jambang yang nipis dan terjaga.

Aku berdoa dan berharap agar kurniaan Tuhan ini akan berkekalan bersamaku hingga ke akhir hayat.

Namun segala-galanya telah ditentukan Tuhan. Hidup, mati, rezeki, baik dan buruk seseorang hamba itu telah ditentukan Tuhan semenjak ia berada dalam kandungan ibunya lagi.

Maka aku sebagai seorang hamba yang lemah terpaksa menerima segala kehendaknya dengan redha dan tenang.

Siapa tahu, rupa-rupanya itulah hari pertama dan terakhir aku bersama suamiku yang baru aku kenali itu.

Aku hanya mengenalinya seketika sahaja, namun dia telah meninggalkan aku buat selama-lamanya.

Aku belum sempat untuk menjalankan tugasan sebagai isteri dengan sepenuhnya.

Apalagi yang dapat aku lakukan. Patutlah dia asyik memohon maaf dariku.

Sewaktu aku ingin mengejutkannya untuk bersarapan, berkali-kali aku cuba memanggil namanya.

Namun dia masih tak menjawab. Aku menggoncang tubuhnya, tetapi tetap tak ada respon. Aku sentuh tangannya, sejuk.

Aku memeriksa nadi dan denyutan jantungnya. Senyap!

Air mataku terus je mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Menangisi kepergian seorang suami.

Aku tersedu-sedu sewaktu semua ahli keluarga masuk kebilik untuk melihat apa yang berlaku setelah terlalu lama aku cuba mengejutkan suamiku itu.

Tapi rupanya hanyalah jasad yang terbujur kaku.

"Sudahlah Ana, bersyukurlah kerana masih ada lagi pusaka tinggalannya buat Ana." Pujuk emak.

Aku hanya mampu tersenyum dengan pujukan emak itu sambil memandang wajah seorang bayi lelaki yang sedang nyenyak tidur disebelahku. Itulah takdir Tuhan, malam pertama yang telah membuahkan hasil.

Walaupun hanya pertama, tapi itulah panglima yang menang dalam pertarungan bagi menduduki rahimku ini.

Hari ini, zuriat suamiku itu telah menjenguk dunia ini. Satu-satunya pusaka yang tidak ada nilai buatku selain sebuah rumah yang telah diwasiatkan oleh suamiku buatku.

"Ya Allah, tempatkanlah rohnya bersama golongan yang soleh. Ya Allah, rahmatilah anakku ini. Jadikanlah dia umpama bapanya yang sentiasa taat kepadamu. Jadikanlah ia berjasa kepada perjuangan dalam menegakkan agamamu. Jadikanlah ia sebagai permata yang membahagiakan aku dan seluruh keluargaku."

Cerpen- Nota Cinta.


"Hari ni, saya menang pertandingan pidato di sekolah. Esok, saya ada lagi pertandingan bahas. Lusa pula, ada persidangan di UIA. Awak jaga diri sementara saya takde ye? Bukan saya tak nak mesej, tapi saya sibuk. Jangan tinggal solat."

Hafiz membaca mesej itu dengan perasaan berbunga. Wardah, gadis yang memang disayanginya dari dulu lagi. Wardah, bagi Hafiz memang sesuai dengan namanya. Wardah memang sekuntum mawar nan indah. Harum mewangi. Sukar didekati dan indah di hati.
Namun Hafiz tidak pernah bertemu Wardah. Sekadar mendengar suaranya yang lunak dan bisa menggugat hati. Bukan dia tidak berkeinginan untuk bertemu, namun tempat tinggal mereka sangat jauh. Mereka berkenalan melalui seorang kawan pada dua tahun lepas.

Wardah tersenyum. Selama 2 tahun perkenalan mereka, Hafiz menjadi permata hatinya. Wardah memang seorang wanita solehah. Namun perkenalannya dengan Hafiz menjadi titik tolak perubahannya. Dia lupa makna zina hati yang dia laungkan pada tazkirah di sekolah. Dia lupa pesan ustazah agar jangan bercinta pada usia muda, tambahan lagi untuknya yang masih bersekolah. Apatah lagi dia akan menduduki peperiksaan besar SPM pada tahun itu.
“Wa, aku tengok kau dah lain. Kau dah pandai layan lelaki kan? Aku tahu kau sukakan Hafiz tapi ingatlah Wa, cinta sejati hanya pada Allah,”  Ujar Fiza, sahabat Wardah pada suatu hari.
“Fiza, aku kan masih solat? Lagipun kami berpesan-pesan ke arah kebaikan. Seperti yang dianjurkan Islam,”  Balas Wardah,  agak teruji.
“Aku rasa kau dah salah konsep, Wa. Dah habis ke perempuan kat sekolah ni? Ramai lagi aku tengok yang tudung ‘pakai buka’, berkepit dengan jantan sana sini, kau tak nak berpesan-pesan ke arah kebaikan untuk tu ke Wa? La taqrabuzzina, janganlah kau mendekati zina.  Wa!”
“Aku harap kau janganlah masuk campur. Soal zina, tak perlu kau ingatkan aku. Aku dah cukup faham maksud itu. Kami tak pernah bertemu. Macam mana kami berzina?”
“Kau dulu pernah beri tazkirah soal zina hati. Takkan lupa? Bila hati saling mengingati, aku tengok kau dah lalai! Lagipun, Allah larang kita mendekati zina, bukan melakukan zina. Kau belum terlewat untuk bertaubat. Lupakanlah Wa, apa tak cukupkah Allah sebagai kekasih kau? Dia yang menemani kau siang malam, Yang Maha Mendengar setiap luahan hati?”
Wardah terdiam. Namun baginya ungkapan Fiza hanya mencurah air ke daun keladi. Dia ingin Hafiz menjadi miliknya!





Hafiz menikmati makan malamnya dengan lahap. Hari ini kepenatan menjeratnya kerana terlalu sibuk dengan tugas kepimpinan di sekolahnya. Namun, Hafiz bersyukur diberi peluang sebegitu. Dia tidak mengeluh dengan tugasan seperti itu. Baginya, segala-galanya adalah tanggungjawab yang diamanahkan. Dan tugasnya adalah sebagai pelaksana.
Mungkin hari-hari Hafiz tidak seindah ini jika Wardah tidak menemani hidupnya. Walaupun Hafiz menyedari hakikat bahawa mereka menghampiri zina, Hafiz sentiasa terpukau dengan janji manis Wardah bahawa mereka hanya berkawan. Namun perasaannya sukar ditepis sama sekali. Dia manusia biasa yang tidak mampu menafikan perasaan cinta yang mula bertunas dalam hati.
Telefon hafiz berdering.
Pantas Hafiz menggapai telefon bimbit di meja. Panggilan dari Wardah
“Hafiz?”
“Ya, saya,”
“Awak sayang saya?”
“Emm, kenapa awak tanya?”
“Saya tanya sebab nak awak jawab,”
“Wardah, awak perempuan terbaik yang saya kenal. Tak mungkin tiada perasaan cinta saya terhadap awak,”
“Awak cintakan saya?”
“Ya, saya cintakan awak,”
Dan malam itu menjadi saksi antara dua jiwa itu. Sesungguhnya begitulah syaitan merasuki kita, secara terang-terangan ia bukanlah cinta yang hina, namun menjebakkan dua insan itu ke alam yang melalaikan.

“Aku nampak semalam kau keluar dengan Ina?” soal Hafiz curiga. Perbuatan sahabatnya, Aiman, menggugat ketenangan dan kewibawaannya sebagai seorang sahabat karib.
“Jadi?” Aiman seolah-olah mencabar Hafiz.
“Aku tak suka. Perkara tu Allah larang,”
“Hafiz, Hafiz! Mentahnya pemikiran kau. Macam mana pula soal hubungan kau dengan Wardah? Kau ingat aku tak tahu? Habis, yang kau bercinta dengan dia tu? Ada Allah suruh?”
“Aiman, kami bercinta cara Islam. Sekurang-kurangnya lebih baik daripada engkau!”
“Ahh, bercinta secara Islam. Kenapa ramai yang kabur dengan persoalan itu? Bukankah itu tipu daya syaitan. Walaupun aku dengan Ina, aku dan dia tidak hipokrit macam kau! Ketua pengawas apa kau ni? Sebelum kau kata baju orang lain kotor, tengok baju sendiri, itu nasihat aku!” kata Aiman berang sambil berlalu pergi.
Hafiz tertunduk di situ, di sebuah taman berhampiran rumahnya. Dia menundukkan kepalanya. Perlahan-lahan, dia berjalan pulang. Dalam perjalanannya, dia bermuhasabah. Ya Allah, dosakah aku? Aku marah apabila sahabatku menghampiri zina namun aku juga begitu! Aku ke surau namun aku juga menghampiri lembah syaitan. Manusia apakah aku?
Malam itu Hafiz bertahajud. Bermunasabah dan merenungi segala dosa-dosanya. Bagaimana suara Wardah yang mencairkan hatinya, dan bagaimana dia asyik melayari alam percintaan dengan Wardah. Dia senang begitu, bermunajat sendirian dan mengadu pada Allah. Biasanya pada malam-malam begitu masanya dihabiskan dengan menelefon Wardah hingga lewat pagi. Namun malam itu dia selesa menutup telefonnya dan menyerah pada Allah. Malam itu juga dia harus membuat keputusan.

“Eeesh! Mana Hafiz ni! Biasanya dia telefon aku, ni, mesej pun takde! Telefon pulak off! Dia ada perempuan lain ke?” rungut wardah sendirian. Hatinya gelisah. Walaupun jam menunjukkan pukul empat pagi, namun dia setia menunggu Hafiz. Dia mahu tunjukkan pada Hafiz bahawa dia gadis yang sabar, mungkin, Hafiz mempunyai urusan yang perlu diselesaikan.
Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Dia menerima mesej daripada Hafiz.
“Wa, jangan tipu saya lagi! Cukup sampai di sini hubungan kita!”
Wardah terkesima. Dia buntu, apa yang Hafiz maksudkan? Perlahan-lahan, dia membalas mesej itu.
“Apa maksud awak? Awak tak sayang saya?”
“Sudahlah Wa. Pergilah dari hidup saya. Saya tak perlukan perempuan macam awak lagi!”
Wardah mula menitiskan air mata apabila mesejnya tidak dibalas. Dia beberapa kali menelefon Hafiz tetapi tidak berjawab. Kali ini dia pasti, Hafiz akan meninggalkannya tanpa sebab!
3 bulan berlalu dengan perit. Wardah sedaya upaya melupakan Hafiz. Setiap hari Wardah memeriksa peti emelnya sejak Hafiz memadam telefonnya. Hafiz pasti akan meninggalkan sesuatu! Hafiz bukan sejahat lelaki lain. Wardah tahu itu semua.
Hinggalah pada suatu hari, Wardah memperoleh berita yang dinanti-nantikan. Terketar-ketar jarinya tatkala membuka emel yang bertajuk ‘Nota Cinta’ itu…


Subject:
Nota Cinta
From:
“Hafiz Haikal”
To:
wardah@yahoo.com
Assalamualaikum...

Kehadapan Wardah, mawar yang dirahmati Allah

Mungkin semasa awak membuka emel ini perasan awak sangat jelik, benci, kecewa dan banyak lagi terhadap saya.Saya faham itu semua, tapi apa saya harus buat, ini saya lakukan semua untuk mencari redha Allah.  Saya pun tak tahu nak mula dari mana, tapi saya harap awak faham apa yang saya tulis.

Sebenarnya mesej yang saya hantar pada pagi itu memang dirancang.  Mesej itu sengaja saya reka untuk saya jauhkan perasaan cinta saya kepada awak.  Mungkin awak terkejut dengan sikap saya, tapi ada makna di sebalik semua tu.

Sebab utama saya hantar mesej macam tu sebab nak biar awak benci kat saya dan menjauhkan diri dari saya. Kenapa saya nak jauhkan diri dari awk?..  Selama kita menzahirkn rasa cinta dan sayang semenjak tu la hati saya rasa lain.  Untuk pengetahuan awak bila saya lafaz sayang dan cinta kepada awak dan awak pula membalasnya saya terasa jiwa saya jauh dari Allah, nafsu syahwat saya naik, rasa ke arah maksiat tu ada walaupun kita tak pernah bersua.  Agak remeh kan kalau orang lain baca, tapi untuk saya yang mempunyai iman yg rendah macam2 boleh jadi kat saya. Mungkin awak sebagai wanita tak rasa keadaan begitu tapi saya seorang lelaki memang menyebabkan saya lemah.  Saya takut akan Allah, kekadang saya nasihatkan kawan saya jangan buat benda 2 tapi saya buat jugak.  Orang pandang saya selalu pakai songkok kat sekolah macam alim, pergi masjid tapi buat benda tu, tak ke saya ni munafik?

Saya sedar apa yang saya buat mendukacitakan hati awk.  Hati mana yang boleh terima difitnah begitu. Tapi bila saya buat begitu saya juga rasa berdosa sebab memfitnah wanita yang solehah. tapi apa kan daya desakan hati.

Awak memang wanita hebat,  setiap kali awak menceritakan kejayaan awak memang saya cemburu. Kekadang saya fikir kenapa saya tak boleh jadi macam awak. Tapi saya tetap bersyukur dapat kawan dengan awak.  Serius saya katakan awak sahajalah kawan wanita yang paling rapat dengan saya, yang lain cuma kawan biasa, jarang saya berhubung dengan mereka.

Untuk terakhir sekali, perasaan cinta dalam diri saya terhadap awak memang tertanam dalam hati saya, sebab awak cinta pertama saya.  Saya tak pernah bercinta.  Masalah yang saya hadapi sekarang mcm saya katakan di atas tu la. Walaupun agak remeh tapi saya pandang serius terhadap benda ni.  Sebab Allah tak redhai sebuah hubungan selain daripada pernikahan.  Saya harap dengan penjelasan saya awak akan faham lebih-lebih lagi awak belajar dlm aliran agama.  Sekiranya kita ada jodoh tak kan ke mana.  Itu janji Allah.

Wassalam..
Ikhlas dari hamba yg mencari redha Allah:
HAFIZ HAIKAL

Malam itu Wardah bersujud, pada Allah dia serahkan diri…  Hari-hari dilaluinya dengan redha, tanpa rasa dendam sedikitpun terhadap Hafiz.  Nota cinta Hafiz telah mengubah hidupnya. Hinggalah Wardah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaannya dan Berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti al-Azhar, Mesir.
Wardah merenung jauh ke Tasik Titiwangsa yang damai itu. Dilihatnya pasangan-pasangan muda berpegangan tangan tanpa segan-silu. Dia bermuhasabah dalam hati.  Andai satu ketika dulu dia hanyut dibuai cinta dengan Hafiz, pasti gelaran doktor pakar mustahil disandangnya.  Sejenak dia memikirkan kata-kata Umminya semalam…
“Wa, bila nak menikah?  Ummi teringin nak bermenantu,”
Soalan Ummi itu menggegar tangkai hati Wardah.  Kenangan yang cuba diluputkannya bertahun-tahun dahulu kembali mengusik. Jauh di sudut hati, Wardah masih mengharapkan Hafiz yang entah ke mana itu. Dengan menarik nafas panjang, Wardah menyahut,
“Sesiapa sahaja yang Ummi carikan, dialah jodoh Wardah,”
Wardah merenung cincin perkahwinan di jarinya. Cantik! Sekali pandang Wardah tahu, suaminya pasti dari kalangan orang berada.  Hatinya masih berdebar-debar.  Sejak akad nikah tadi, dia masih belum melihat wajah suaminya. Walaupun Hafiz berada dalam hatinya, dia redha. Biarlah, pilihan Ummi pasti yang terbaik buatnya. Wardah memejam mata rapat-rapat, ditahan air matanya dari menitis. Dia ingin menjadi bintang timur buat suaminya. Biarlah dia seorang…
“Wardah Alia binti Syukri, sesungguhnya cinta itu lebih indah melalui sebuah ikatan mulia bernama perkahwinan…”  Bisik suaminya, suara yang mendamaikan hatinya.
Wardah membuka matanya, dan menatap wajah penaung jiwanya kini… Hafiz Haikal…

Sunday, March 8, 2015

Prolog: Seluruh Cinta

Hanis merenung ke luar jendela. Sudah lima tahun perkara yang memedihkan hati dan perasaanya itu berlalu. Hatinya sudah tertutup untuk menerima sesiapa pun lelaki yang hadir dalam hiudpnya, Dah penat. Penat dengan sandiwara sedang hati ikhlas. Ahhh, itu dulu ketika di alam persekolahan. Masing-masing masih belum bersedia memikul tanggungjawab sedang cinta itu rupaya besar tanggungjawabnya. Masing-masing bodoh mengatakan dan mengiakannya. Ya, bila bercinta kata-kata janji manis dituturkan sang teruna. Si gadis pula teruja dengan kata-kata nista. Tapi, tetap sama kalau niatnya hanya untuk berseronok dan bukan untuk menikahi. Sudah, cukup! Walau berjuta lelaki yang datang menemui abah untuk meminangnya hatinya tetap tak akan terima kerana seribu yang datang tak sama dengan satu yang pergi. Aku tak harap dia kembali menagih kasih. Biar, luka itu yang membuatkan aku menjadi kuat dan setabah ini. Sampai bila nak begini? Mungkin, dia dah pun bahagia. Aku akan move on. Tapi, untuk menerima lelaki dalam hidup itu tidak mungkin akan berlaku. Biarlah masa yang menentukan. Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Tiba masa, Allah akan hadirkan jua insan yang sudi menerima kekurangan dan melengkapkan kekurangan diri aku.

Hanis berbicara sendirian di dalam hati sambil melihat pemandangan indah malam dipenuhi bintang di langit. Subhanallah. Hatinya memuji kekuasaan dan kebesaran Allah. Telefon bimbit berdering. Langkah di atur menuju ke bilik lalu duduk di birai katil menjawab panggilan. Unknown number. Private pula tu. Nak angkat ke tak? Hanis berkira sama ada hendak menjawab panggilan ataupun tidak. Sudah lima kali telefonnya dibiarkan berdering tanpa berjawab. Panggilan keenam muncul tidak sampai pula hati Hanis. Mungkin ada perkara penting dari pemanggil.

"Bismillahirrahmanirrahim..." Hanis menjawab panggilan dengan basmalah.

Hanis berdiam. Pemanggil di talian juga turut berdiam.
Selang dua minit,

"Assalamualaikum Nurul..." Hanis terkejut. Wajahnya pucat. Tiada seorang pun yang memanggil Hanis dengan panggilan Nurul kecuali dia. Ya Allah, apakah yang engkau ingin tunjukkan pada diri ku?

"Waalaikumsalam.. siapa ni?" digagahkan juga diri untuk menjawab bertanya siapa gerangan di sana. Perasaan yang hadir cuba di usir.

"Saya Zarif. Nurul.. saya dah bersedia!" tuturnya yakin.

Hanis pelik.

"What? Bersedia?" soal Hanis pelik. Suara dinaikkan sedikit. Fuhh, bengang lah pula.

"Ya Nurul, saya dah bersedia. Izinkan saya jumpa ibu dan ayah awak untuk kita bincang supaya dapat membina hubungan yang halal. Saya dah bincang dengan ayah saya tentang perkara ni. Saya pernah berjanji kan?' tuturnya panjang lebar.

"Zarif! Jangan cakap tentang janji. Saya benci. Jangan pernah kembali dalam hidup saya. Dan, saya langsung tak pernah berharap awak kembali dalam hidup saya. Sebab saya benci awak Zarif! Benci! Pergi jauh-jauh dalam hidup saya dan jangan pernah kembali. Jangan buat hati saya sakit untuk sekali lagi. Saya dah penat! Assalamualaikum" Hanis mencampak telefon bimbitnya di katil lalu membaluti tubuh dengan air mata yang masih bersisa. Cukuplah untuk hari ini.

Zarif merenung telefon bimbitnya. Air mata yang di tahan selama ini akhirnya jatuh jua. Lima tahun dia menahan perasaannya. Menahan perasaan rindu yang mendalam pada Nurul Hanis Athirah. Bukan dia sengaja. Tapi, dia tidak sanggup bergelumang dengan dosa yang pernah dilakukan dulu. Sampai bila-bila pun kalau Allah kata haram tetap haram. Dia terpaksa meninggalkan Hanis untuk menjadi hamba Allah yang terbaik. Pengalaman inilah yang membuatkan Zarif berhati-hati untuk tidak melukai hati wanita. Melihat Nurul bersedih sudah cukup membuatkan hati Zarif terseksa. Mana mungkin, melihat satu-satunya wanita yang dia cintai dari alam persekolahan hingga kini bersedih kerana dirinya.

Salahnya juga dulu, menabur segala harapan padanya. Sungguh, dia berniat! Kau bodoh Zarif! Zarif mengutuk dirinya sendiri. Biar masa yang menentukan segalanya. Zarif memang layak dibenci kerana telah menyakiti hati seorang wanita.

Sunday, March 1, 2015

Repost: Kek Lapis Kukus Cream Cheese

Assalamualaikum

Heyooo! *lambai-lambai tangan* u oll's apa khabar? Sihat? Huhu. Lama giler kan aku tak hupdate blog kesayangan aku ni. Dah bersarang pun. Jap, nak ambil bulu ayam bersihkan tanah. Keh3. Done! u oll's suka cheese cake kan? Tak suka? Takpeee.. Resipi ni aku tujukan khas untuk u oll's yang suka cheese cake. 
Ahaks. Sep-sep!
Okay, now! Inilah resepinya. Senang je nak buat ekceli. Tak susah mana pun :') Masa 1st time buat cake ni, aku bawa ke sekolah. Bagi kawan-kawan rasa. Mereka kata sedap. Haha, aku dah agak dah mereka akan komen begitu. Haha. Then, beberapa hari kemudian kawan aku pun order cake ni. Wow! Alhamdulillah. Maka, terhasillah gambar di atas. Untuk ibu dia katanya. So, special~ Aummm! Aku jual dalam RM 15 cemtu. u'olls kalau berminat sila lah cuba ini resipi. Sangat sedap! Tak rugi sekiranya u oll's mencuba. Nak buat cake ni pun ada tips-tips nya. Nak tau? Tips nak buat cake ni senang dan mudah diamalkan. Dimulakan dengan bismillah dan disudahi dengan alhamdulillah. Done! 
----------------------------------------

BAHAN A
250 gm cream cheese
60 gm gula halus - husna kurangkan 50g shj
1 biji telur
1 sudu besar air
1 sudu besar tpng gandum

Cara-cara
Pukul cream cheese bersama dngn gula hingga sebati.
Masukkan telur diikuti dngn air dan tepung gandum. Pukul lagi dan gaul sebati.
Biarkan sebentar.

BAHAN B (KEK)
2 biji telur
1 cwn gula halus
1 sk vanilla
sedikit garam
1/2 cwn air panas didih
1/2 cwn cwn susu segar/cair
1/2 cwn minyak jagung/masak
1 cwn tpng gandum*
3 sudu besar sebuk koko*
1 sudu kecil baking soda*
1/2 sudu kecil baking powder*(* bahan2 perlu diayak dulu)

Cara-cara
Pkl telur didalam bekas lain bersama gula sehingga kembang.
Setelah kembang masukkan vanilla dan garam.
Masukkan air panas,susu dan minyak.
Setelah itu masukkan tpng gandum,b.soda, b. powder dan serbuk koko yg telah diayak dan gaul sebati.
Biarkan sebentar dan bahagi pada 2 bahagian. Bahagikan pada 2 bahagian.

CARA MEMASAK
Panaskan kukusan dan balut dengan kain penutupnya. Guna api sederhana je.
Sapukan sedikit minyak/mentega di sekeliling loyang dan alas dngn kertas minyak.
Tuang adunan coklat, tutup loyang dngn aluminium foil dan kukus selama 15-20 minit.
Buka aluminium foil dan tuang adunan cream cheese diatasnya, tutup semula guna aluminium foil dan kukus selama 15 minit.
Setelah itu tuang lagi adunan coklat selebihnya, tutup lagi guna aluminium foil dan kukus lagi selama 20 minit.
Setelah benar2 sejuk, boleh potong dan hidangkan.

SELAMAT MENCUBA!