Tuesday, November 19, 2013

Persiapan Menghadapi Kemunculan Dajjal


Siapa dajjal?
Dajjal bukanlah dari keturunan jin atau mahluk lainnya. Dajjal hanya manusia yang berketurunan yahudi namun telah diberi banyak kelebihan dengan tujuan menguji umat Islam di akhir zaman. Bapanya adalah seorang lelaki yang tinggi dan gemuk serta mempunyai hidung seperti paruh burung dan berasal dari keturunan dukun yahudi. Ibunya pula dari keturunan jin. Dajjal dikatakan telah lahir dari ibu bapa yang melakukan hubungan sewaktu ibunya sedang haid.

Dajjal telah wujud di bumi sejak dari zaman nabi lagi namun telah ditangguhkan kematiannya, sepertimana ditangguh kematian iblis hingga hari kiamat. Dajjal telah dirantai dan dipenjara disebuah pulau di antara laut Syam dan laut Yamen. Dia terbelenggu dengan besi di mana kedua tangannya diikat kepada leher dan lutut hingga bersatu dengan buku lalinya. Pulau itu ditunggu oleh seekor binatang yang bernama Al-Jassasah, iaitu seekor binatang yang lebat bulunya sehingga tidak dapat dibezakan ekor dan kepalanya.


Ciri Fizikal Dajjal.
Dajjal bukanlah mahluk bermata satu di dahi seperti yang sering digambarkan oleh masyarakat sekarang. Sebaliknya dajjal mempunyai dua mata namun kedua-dua matanya cacat. Mata kirinya buta dan kecut seperti buah kismis manakala mata kanannya besar dan terkeluar serta berwarna kehijaun dan juga seakan berkilau.

Di dalam hadis Rasullulah juga ada menyebut bahawa dajjal adalah lelaki yang kelihatan muda, pendek, berbadan besar dan kemerah-merahan. Rambutnya pula panjang, lebat dan kerinting. Jika dilihat dari belakang, dia kelihatan seperti dahan pokok yang rimbun.

Ciri yang paling ketara adalah terdapat tulisan kafir, iaitu 'kaf fa ra' di dahinya. Tulisan ini boleh dibaca oleh semua umat Islam meskipun yang tidak tahu membaca.


Kemunculan Dajjal.
Dajjal akan muncul dari arah timur. Di belakangnya diikuti orang-orang yahudi, kaum wanita dan kanak-kanak. Dia juga disertai iblis yang menyerupai orang-orang yang telah meninggal dunia. Dipercayai wanita adalah yang paling ramai menjadi pengikut dajjal hingga kaum lelaki terpaksa mengikat saudara wanita mereka  supaya tidak mengikut dajjal.

Setelah kemunculannya, dajjal hanya hidup selama 40 hari sahaja. Namun hari pertamanya adalah sama panjang seperti setahun, hari kedua adalah panjang seperti sebulan dan hari ketiga adalah seperti seminggu. Lalu hari seterusnya adalah seperti hari-hari biasa. Oleh itu, waktu sebenar kemunculannya adalah 14 bulan dan 14 hari.

Dajjal akan menjelajah ke seluruh bumi dengan menaiki keldainya. Jarak di antara kedua-dua telinga keldainya adalah sepanjang 40 hasta. Menurut sabda Rasulullah, kepantasan perjalanan dajjal adalah seperti awan dan hujan yang ditiup angin kencang.

Dajjal akan memasuki setiap lorong dan kampung dan tidak ada sejengkal tanah pun yang tidak dijelajah olehnya kecuali dua tempat iaitu Mekah dan Madinah. Setiap kali dajjal mahu memasuki salah satu daripada kedua tempat tersebut, dia akan dihalang oleh para malaikat yang memegang pedang tajam di tangannya. Namun begitu, dajjal akan berdiri di suatu gunung di sempadan Madinah. Ketika itu tanah akan bergegar seperti gempa bumi dan orang munafik akan merasa seperti cacing kepanasan hingga mereka lari keluar dan tunduk kepada dajjal. Hari tersebut dinamakan hari pembersihan Madinah.


Muslihat Dajjal.
Di antara tipu muslihatnya ialah dia akan meminta iblis datang kepada manusia dengan menyerupai orang yang telah meninggal dunia. Lalu iblis akan berkata "tidakkah kau mengenali aku? aku adalah suadaramu." Dajjal juga akan meminta manusia mengakunya sebagai Tuhan sebagai syarat untuk menghidupkan kembali ibu bapa yang telah meninggal dunia. Namun pada hakikatnya dia hanya menghantar iblis yang menyerupai ibu bapa mereka.

Dajjal juga akan datang ke kampung-kampung yang kemarau di mana penduduknya sedang kebuluran. Dia akan menawarkan hujan dan makanan yang banyak supaya penduduk menjadi pengikutnya. Penduduk kampung tersebut akan mendapat makanan yang banyak, manakala di kampung yang tidak mahu menjadi pengikutnya tanaman dan ternakan akan mati dan mereka akan kebuluran.

Dajjal juga kelihatan seperti membawa syurga dan neraka bersamanya di mana yang kelihatan seperti syurga hakikatnya adalah neraka dan begitulah sebaliknya. Bersamanya terdapat dua sungai yang mengalir. Satu daripadanya mengalirkan air dan satu lagi api.


Menentang Dajjal.
Sabda Rasulullah bahawa ingatlah sewaktu dajjal muncul dia awalnya akan mengakui diri sebagai nabi kemudian sebagai Tuhan. Umat Islam harus ingat bahawa tiada nabi selepas Baginda dan Allah tidak boleh dilihat sebelum meninggal dunia serta Allah tidak cacat.

Makanan umat Islam yang tidak menjadi pengikut dajjal di tempat kemarau adalah zikir, tahlil, tasbih dan taubat.

Orang-orang yang diseksa di neraka yang dibawanya hendaklah meminta pertolongan dari Allah dan membaca pangkal surah Al-Kahfi. Maka neraka itu akan menjadi sejuk.

Sabda Rasulullah, ibadat di waktu hari pertama kemunculan dajjal tidak cukup hanya dengan solat fardhu 5 waktu kerana hari tersebut sama panjang seperti setahun. Oleh itu umat Islam harus solat sepertimana mereka solat selama setahun dan bukan mengikut edaran bumi sehari seperti kebiasaannya. Begitu juga pada hari kedua dan ketiga.


Kematian Dajjal.
Orang-orang Islam akan berlarian menuju ke gunung Dukhan di Syam namun sempat dihalang oleh Dajjal. Setelah itu Nabi Isa akan turun ke bumi. Nabi Isa muncul dengan berpakaian kuning dan kedua tangan diletakkan di sayap dua malaikat. Nabi Isa akan bersama-sama umat Islam menunaikan solat subuh berjemaah dengan diimamkan oleh Imam Mahadi. Selesai solat mereka akan keluar untuk memburu dajjal. Di waktu dajjal melihat Nabi Isa, dia akan mencair dan lari bertempiaran namun sempat dikejar dan ditikam oleh Nabi Isa.

Setelah itu, setiap umat yang menjadi pengikut dajjal akan dibunuh tanpa ada tempat untuk mereka bersembunyi. Di mana seluruh alam mahupun yang beku seperti pokok dan batu akan berkata "di sini ada seorang yahudi, bunuhlah dia".

Dikatakan waktu itu hampir semua umat telah menjadi kafir dan hanya tinggal 12000 orang lelaki dan 7000 orang perempuan yang masih berpegang teguh pada Islam.


Setelah Kematian Dajjal.
Orang-orang akan pulang ke rumah masing-masing namun muncul yakjuj dan makjuj yang akan memakan semua makanan dan meminum semua air sehingga habis semua tumbuhan dan kering air tasik dan sungai. Allah akan memakbulkan doa orang-orang mukmin ketika itu dan membinasakan mereka. Namun kemudian bangkai yakjuj dan makjuj bergelimpangan di merata tempat hingga timbul bau busuk yang sangat kuat. Lalu Allah turunkan hujan lebat dan menghanyutkan bangkai-bangkai tersebut ke laut.

Nabi Isa akan memimpin dunia selama 7 tahun setelah kematian dajjal. Baginda akan menunaikan haji di samping kelompok Ashabul Kahfi. Menurut sabda Rasulullah, "belum terjadi kiamat sebelum Isa bin Maryam berjalan di udara untuk mengerjakan  haji dan umrah,". Baginda akan wafat di Madinah, disembahyangkan oleh kaum muslimin dan dimakamkan berdekatan makam Rasulullah.

1 comment:

uyu kawaii said...

ditag http://artisarainbow.blogspot.com/2013/11/happy-giveaway-by-ain-rahman.html