Saturday, August 24, 2013

Cara Membersihkan Otak Dan Hati Dari Kekotoran

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum!
Kekotoran adalah satu benda yang berlawanan dengan fitrah manusia. Kita sendiri, kalau terpaksa memakai pakaian yang kotor ataupun berbau untuk ke mana-mana pasti sekali akan merasa tidak selesa. Sebenarnya fitrah manusia bukan hanya berlawanan dengan kekotoran luaran, bahkan juga berlawanan dengan kekotoran dalaman.

Kotor secara luaran, banyak cara untuk mengatasinya. Di pasaran terdapat pelbagai bentuk cecair mahupun serbuk pencuci yang ditawarkan. Kalau kekotoran yang terlalu degil, boleh disental dengan Clorox.

Tetapi kotor dalaman,  iaitu kotor hati, cara membersihkannya tidak sama. Kalau rasa hati tercemar, jangan pula diminum Clorox untuk membersihkannya.

mengarut! mana ada orang minum klorox nak bersihkan hati..

Betulkah tiada? Pernah anda dengar orang minum racun untuk bunuh diri? Terjun bangunan? Jerut leher dengan tali?

itu kes lain bhai. itu putus cinta, frust…

Benar. Tetapi itu hanya simptom. Sebab utamanya adalah ; si pelaku gagal untuk menemui ketenangan hati yang berpunca dari kegagalannya membersihkan kotoran-kotoran yang melekat pada hatinya sendiri.

Apa Persamaan Kotor Luar Dan Kotor Dalam?

Ada persamaannya. Pertama ; dalam kedua-dua situasi, manusia berasa tidak selesa. Kedua ; kedua-dua jenis perlu disental, diberus sehingga bersih untuk menghilangkan segala kekotoran.

Dalil situasi pertama adalah ; fitrah manusia itu bersih dan dia sentiasa mahukan perkara yang bersih.

Sebab itu kita sendiri, kalau kerap kali melakukan dosa, atau terasa ada melakukan salah dengan Tuhan, kita akan rasa tidak senang duduk, hati berdebar-debar dan terasa diri seperti sangat kotor. Walhal, luaran nampak bersih, kemas dan mungkin berbau wangi.

Ini adalah hakikat yang dirasai oleh semua manusia. Kenapa? Jawapannya adalah kerana fitrah manusia itu adalah bersih dan suci. Lalu dia akan sentiasa mahu kembali kepada fitrah yang suci tersebut.
Sabda Nabi s.a.w : كل مولود يولد على الفطرة –> setiap anak yang lahir itu dilahirkan dalam fitrahnya, yakni bersih dan suci.
Sebab itu orang melayu kata, anak yang baru lahir ibarat kain putih.

Lama apabila besar, banyak terpalit dosa, hati kita akan meronta-ronta untuk kembali menjadi putih bersih dari sebarang dosa.

Kedua : Proses menyental

Kadang-kadang, kotoran yang biasa boleh dihilangkan dengan cucian yang biasa. Tetapi kotoran yang lama, sukar untuk hilang perlu disental dan diberus dengan kuat, barulah kotoran tersebut hilang.

Hati juga begitu.

Kalau dosa kecil, istighfar memadai. Sebab itu Nabi s.a.w ajar kita supaya banyakkan istighfar. Sabda Baginda s.a.w : Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah tidak kurang dari 70 kali sehari. Dalam sebahagian riwayat lain disebut ; tidak kurang dari 100 kali.

Tetapi dosa-dosa besar perlu disusuli dengan taubat.
Firman Allah ta’ala : Wahai orang-orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha.
Taubat nasuha adalah taubat yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh oleh pelaku yang melakukan dosa-dosa besar. Tangisan dalam sujudnya di malam hari dengan benar-benar menyesali dosa-dosa silamnya akan meraih keampunan daripada Allah. Itulah namanya menyental. Bukan sekadar biasa-biasa, tetapi perlu ditekan, diraih keinsafan tersebut.

Sudah tentu, ia bukan perkara mudah. Ramai orang malas membasuh baju yang terlekat kotoran degil, kerana malasnya untuk mengeluarkan tenaga menyental dan memberus. Akhirnya semakin lama, kotoran semakin sukar hilang.

Hati juga begitu. Lama dibiarkan dosa-dosa tanpa disusuli dengan taubat, akhirnya membuatkan dosa tersebut menyeliputi hati, sehinggalah hati tidak lagi ada ruang untuk merasa insaf. Itulah namanya hati yang mati.
Sebab itu, bukan calang-calang orang yang berjaya membersihkan hati mereka terutama dari kotoran degil. Lalu sabda Nabi s.a.w : التاءب عن الذنوب كمن لا ذنب له –> orang yang bertaubat dari dosa, umpama orang yang tiada dosa.
Justeru ada berbagai cara untuk membersihkan hati ( dan otak ) dari kotoran :

1- Banyakkan membaca Al-Quran bersama tadabbur.

Baca Al-Quran sahaja, tanpa tadabbur maknanya sukar mendatangkan keinsafan pada manusia. Memahami makna-makna Al-Quran, peringatan-peringatan Allah di dalamnya akan berupaya meraih kelembutan dari dalam jiwa manusia.

2- Torture hati sendiri

Banyakkan berhujah dengan hati dan jangan sekadar mengikut setiap bisikannya. Boleh jadi ketika terdorong melakukan maksiat, kita jarang menentang sebaliknya kerap mengikut. Ubah tabiat tersebut kepada menentang. Marah kepada setiap bisikan tersebut dan torture hati sendiri supaya bisikan tersebut kalah.

3- Usaha untuk menangis

Tangisan adalah satu perkara yang sukar bagi manusia. Betul, memang payah hendak menangis kecuali dengan hal yang remeh temeh. Putus cinta, hilang barang, terasa hati dan sebagainya. Hendak menangis mengenang dosa sangat payah. Tetapi payah tak bermakna tak boleh. Cuma perlu diusahakan. Antara caranya adalah mencari suasana yang mendorong, bangun tengah malam umpamanya. Memejam mata sambil mengingati kesalahan-kesalahan yang pernah dibuat, insyaAllah akan menangis. Tangisan ini bukan calang-calang, kerana powernya boleh memadamkan api neraka.

4- Banyakkan ingat mati

Nabi s.a.w mengingatkan , bahawa antara cara membersihkan hati adalah dengan membaca Al-Quran dan banyak ingat mati. Kalau boleh, selalu hadiri solat jenazah jika berlaku kematian. Tolong usung keranda. Ikut ke tanah perkuburan. Tengok jenazah masuk dalam lahad. Semua ini boleh mematikan keseronokan berlebihan kita kepada dunia.

5- Bergaul dengan orang soleh

Dalam hadis ada disebut tentang aspek pergaulan. Seseorang yang berkawan dengan penjual minyak wangi pasti akan terlekat sama wangian tersebut. Berkawan dengan orang-orang yang baik, yang soleh, yang tekun pada agama, boleh melembutkan hati kita untuk menjadi baik. Dalam masa yang sama, proses mensucikan antara akan menjadi lebih mudah.

Jadi, jaga-jagalah dalam memilih kawan. Very important.

Semoga ada manfaatnya untuk peringatan bersama.

Sekian.

No comments: