Wednesday, May 29, 2013

Tanpa Izin Tuhanmu, Tiada Yang Mampu


Assalamualaikum..
Menelusuri susur perjalanan hidup ini adalah satu laluan yang cukup mencabar dan menguji kekuatan jiwa insan. Insan tanpa Tuhan, lemahlah dia. Insan berjalan tanpa Tuhan, rebahlah dia.
Meski sekuat apapun seorang insan, tanpa Allah di jiwanya, segala kekuatan yang ada hanyalah kosong tanpa ada makna.
Insan datang daripada Tuhan dan akan kembali kepada Tuhan. Maka di antara dua destinasi datang dan pergi itu, harapan kekuatan insan sudah tentulah pada Tuhan yang mengutuskan.
Dengan kehidupan fana yang sentiasa menipu daya ini, kehidupan insan tidak pernah lari dari ujian.
Barangkali kita sedang menghadapi saat-saat yang begitu melukakan.
Barangkali kita sedang menghadapi waktu-waktu yang mendukacitakan.
Barangkali kita sedang terasa begitu down sekali.
Tetapi, insan yang rapat hatinya dengan Tuhan, Tuhan tidak pernah sekali-kali membiarkannya.
Pastilah Allah Tidak Mengujimu Melainkan Dia Ingin Memberikan Kebaikan
Nabi s.a.w. pernah diuji dengan kesakitan dan kelukaan yang dahsyat di medan Uhud, tetapi kemudiannya Allah menghadiahkan kegembiraan di medan Khandak.
Baginda pernah diuji dengan perjanjian Hudaibiyah yang sangat jelas berat sebelah, tetapi dihadiahkan Allah dengan pembukaan Kota Makkah selepas Musyrikin sendiri melanggar perjanjian itu.
Hidup ini begitulah.
Kadangkala, Allah menguji kita dengan sesuatu yang kita rasakan tidak adil untuk orang seperti kita yang telah banyak bersusah payah dan berusaha dalam kehidupan berbanding orang lain, tetapi bila dilihat dan direnung semula, rupanya Allah ingin berikan selepas itu sesuatu yang lebih besar dan lebih baik daripada apa yang telah kita miliki.
“Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” [Al-Baqarah : 216]
Syed Qutb dalam tafsirnya Fi Zilal menukilkan kalam yang sangat manis berkaitan dengan ayat ini :
“Setiap insan – dengan pengalamannya tersendiri – ketika merenung kehidupannya pasti akan mendapati banyak perkara di dalam hidupnya yang dibenci tetapi di sebaliknya ada kebaikan yang sangat banyak, serta (dia juga akan mendapati) kelazatan yang banyak tetapi rupanya di sebalik itu ada keburukan yang sangat besar. Telah berapa banyak peristiwa yang telah membuatkan insan jatuh dalam kesedihan, kemudian dia mendapati setelah beberapa ketika, Allah pun telah mengeluarkannya dari kesedihan itu. Dan berapa banyak ujian yang telah ditelan insan dalam keadaan tercungap-cungap nafasnya menghadapinya sehingga kemudian terhenti segala kesusahan ujian itu,  kemudian dia mendapati daripada ujian itu kebaikan dalam hidupnya apa yang dia tidak perolehi dalam keadaan aman (tenang) yang berpanjangan.” [Fi Zilalil Quran, Dar Syuruk]
Allah tidak menguji insan tanpa tujuan. Allah menguji insan kerana ingin memberi ganjaran serta kebaikan yang lebih besar lagi daripada apa yang telah dia miliki.
Tinggal lagi, apakah insan positif memandang rahmat Tuhan saat dirinya dicengkam payah dan peritnya ujian?
Tanpa Izin Tuhanmu, Tiada Siapa Mampu Mengapa-apakan Kamu
Allahlah yang mengizinkan manusia bergerak sebebasnya di atas dunia ini. Allah jugalah yang telah memberikan kudrat kepada insan, menjaga susun atur dan pergerakan alam ini agar kehidupan insan menjadi harmoni.
Kalau kita bersedih dan terluka kerana diperlakukan dan dikhianati oleh manusia, ketahuilah bahawa ada Allah yang Maha Besar dan Maha Kuasa, yang lebih berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas manusia yang menzalimi kita itu.
Kalau kita terluka dan dukacita kerana sikap buruk manusia terhadap diri kita, ketahuilah bahawa ada Allah yang Maha Kuat dan Maha Perkasa untuk membalas segala tindakan jahat manusia itu.
Kalau kita merasa lemah kerana kurangnya kudrat kita untuk membalas segala kejahatan dan keburukan manusia terhadap diri kita, Allah yang Maha Menghukum dan Maha Menghinakan sentiasa akan mampu menghinakan manusia yang telah menghinakan kita itu.
“Jagalah Allah, Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau mendapati-Nya bersama kamu. Jika engkau meminta, maka mintalah kepada Allah. Jika engkau memohon pertolongan, maka mohonlah kepada Allah. Ketahuilah, jika seluruh manusia berkumpul untuk memberi manfaat kepada kamu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan mampu melakukannya melainkan apa yang telah Allah tuliskan untuk kamu. Dan jika mereka berkumpul untuk memberi mudharat kepada kamu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan dapat memberi mudharat kepada kamu melainkan apa yang telah Allah tuliskan terhadap kamu …” [HR Tirmizi]
Jangan pernah berhenti berjalan dan berjuang andai terluka di pertengahan jalan.
Itu hanyalah obor untuk menghangatkan lagi semangat dan bara perjuangan di dalam jiwa kita dalam menempuh kehidupan.
Jangan pernah putus harapan meneruskan perjuangan kehidupan andai diuji dengan caci maki, tohmahan dan kekejian.
Kalau kita tidak mampu menghentikan semua itu dengan tangan kita, Allah sentiasa ada dan berkuasa untuk menamatkan semua kejahatan itu dengan sekelip mata.
Insan jangan pernah jauh daripada Tuhan kerana itulah sumber kekuatan dan keberdayaan. Biar sehebat apapun kekuatan fizikal kita, tetapi tanpa kekuatan spiritual dan dalaman kita, kita hanyalah ibarat tin kosong yang kuat berbunyi.
Penutup : Kuatlah, Bersabarlah Dan Teruslah Bergerak !
Kalau hidup ini berlalu penuh kesenangan tanpa ada apa-apa kesusahan dan ujian, ia tidak akan jadi bermakna. Barangkali, kita pun tidak begitu menghargai banyaknya nikmat dan kebaikan yang telah kita perolehi dalam kehidupan kita.
Barangkali, kita pun menjadi lebih jauh daripada Tuhan bila hidup terlalu senang tanpa dugaan.
Sebab itu, janganlah pernah lemah dan longlai kala merasakan diri tidak begitu kuat di dalam menempuh ujian. Jangan menangisi lemahnya diri kita, tetapi hadapilah dengan penuh kekuatan.
Kita tahu ada Allah yang menjaga urustadbir alam ini. Pastilah Dia tidak akan membiarkan diri kita sia-sia dengan usaha kita yang berpanjangan itu. Pastilah Dia tidak akan membiarkan kezaliman dan kejahatan itu berleluasa sehingga dapat memberi mudharat kepada diri kita.
Bahawa kalau kita mentaati-Nya, pastilah Dia tidak akan meninggalkan kita ini sia-sia di atas dunia.
Tinggal lagi kita, perlu terus kuat dan sabar serta teruslah bergerak !
Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita !

1 comment:

Puteri Hanisah said...

Allah menguji hambanya sekadar yang Dia termampu..kan..

nice sharing =)