Thursday, March 21, 2013

Ayah, SOLEHAH kah Aku Untukmu?



Sering sahaja kita membaca tentang bagaimana menjadi isteri solehah untuk suami soleh  Namun, jarang kita bermuhasabah, adakah kita telah berjaya menjadi yang solehah untuk insan yang selayaknya king of our heart  kita iaitu seseorang yang bergelar ‘ayah’.

Tahukah atau sedarkah kita, selagi kita tidak berkahwin. Ayah kita lah yang menanggung segala perkara yang bersangkut paut dengan diri kita sehinggalah ke dosa-dosa kita? Ayuh.. Kita mula renung-renungkan..

Pernah atau tidak kalian bayangkan suatu hari yang sangat damai.. kalian akan akan mendapat berita yang ayah kesayangan kalian telah pergi buat selama-lamanya? Tanpa sempat kalian menyatakan maaf buatnya. Tanpa sempat kalian mendengar kata-katanya buat kali terakhir dan tiba-tiba kalian di beritahu yang ayah kalian telah pergi untuk selama-lamanya dari dunia ini. Allahu Akhbar. Saya jamin dan yakin seperti ingin gugur jantung kita di saat itu.
“ dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu Yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai Segala Yang kamu kerjakan.” Al munafiqun:11 
Pasti. Dan amat pasti. Kematian seseorang yang bergelar ayah itu akan berlaku. Persoalannya, sudahkah kita menjadi anak yang soleh dan solehah untuk beliau sebagai bekalannya di alam kubur sana?

Ingat kah kita tentang hadis ini, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim).

Suka untuk saya menyatakan usah kita hanya sibuk untuk menjadi soleh/solehah buat suami/isteri atau bakal suami/isteri. Namun, berusahalah dan kejarlah juga ciri-ciri untuk menjadi yang soleh dan solehah buat kedua ibu  bapa kita. Kerana mereka  yang sangat-sangat berjasa dalam kita membina kehidupan di muka bumi ini.

Di akui kita juga manusiawi. Lumrah alam manusia sentiasa terjerumus atau terjatuh dalam lembah kehinaan sang syaitan. Namun, ayuhlah sama-sama kita muhasabah sentiasa bagaimana cara untuk kita menjadi anak yang soleh dan solehah buat kedua ibu bapa kita supaya doa kita diterima sebagai ‘bekalan’ untuk mereka di ‘sana’.

Tujuan apa untuk kita menjadi solehah?
Buat muslimah yang di kasihi. Ayuhlah kita mengingatkan kembali diri kita. Tujuan apa untuk kita menjadi solehah? Adakah semata untuk mendapat suami soleh? Sedangkan telah-telah kita mempunyai seorang kekasih sejak azali yang bersama-sama berdampingan dengan kita. Kita juga turut perlu menjadi solehah buat ayah kita. Kerana kita hanya punya satu ayah.

Lagi-lagi jika ayah kita telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya kerana berjumpa dengan penciptaNya. Subhanaallah. Bagaimanakah nasib beliau di sana? solehahkah kita untuk beliau? Adakah doa-doa kita untuk beliau sama seperti doa-doa kita buat bakal suami kita atau suami kita?

Cuba hayati bait-bait nasyid ini :

“ketika berjauhan

Masihku rasa hangat kasihmu ayah

Betapaku rindukan redup wajahmu

Hadir menemaniku

Terbayang ketenangan

Yang selalu kau pamerkan

Bagaikan tiada keresahan”

Percayalah wahai muslimah. Apabila kamu berusaha menjadi yang solehah untuk ayahmu. Secara automatiknya kamu juga akan menjadi yang solehah buat suamimu. Rijalmu.

Jangan kita menyesal di kemudian hari. Di mana kita merasa teramat rindu untuk menyebut perkataan ‘ayah’ untuk seseorang yang bergelar ayah ketika beliau telah tiada di dunia ini. Jangan kita merasa telah terlambat untuk kita menyatakan kasih – sayang kita kepada beliau. Jangan kita merasa derita kerana telah terlambat untuk kita memohon maaf.

Ayuh, kita renung-renungkan…


No comments: