Saturday, October 15, 2011

Blogger=Da’ie: Hubungan Dengan Allah, Tiang Utama Seorang Blogger.


Hubungan dengan Allah SWT. Ya, saya nyatakan itu adalah tiang utama buat seorang blogger yang ingin menjadikan blog/websitenya sebagai satu tempat yang baik buat dirinya dan bermanfaat pula untuk orang lain.
“Mengapa? Bukankah ini hanya blog? Bukannya solat dan sebagainya.”
Kerana, kita ingin menjadikan blog/website kita saham kita di akhirat. Itu antara salah satu ciri seorang Da’ie. Kehidupannya bukan sia-sia. Tiada yang bukan kerana Allah SWT diniatkan olehnya. Semua bermakna. Maka jika seseorang blogger itu ingin menjadi da’ie di alam maya, semestinya hubungan dengan Allah adalah tiang utamanya.
Kita akan bahaskan mengapa. Perlahan-lahan.
Bersama-sama. Mari ikuti episod ini.

Asas utama hendak dikira sebagai amal Islam
Blogger=Da’ie, menandakan bahawa kita mahu menjadi blogger yang mampu membawa manusia pulang kepada Allah SWT. Hendak membawa manusia pulang kepada Allah SWT, semestinya dengan cara yang bersih. Dan cara yang bersih itu, adalah apa yang diterima oleh Allah SWT, bukan pula selainnya.
Maka, ketahuilah bahawa syarat penerimaan amal untuk dikira sebagai ibadah, untuk diterima oleh Allah SWT ada dua.
Pertamanya: Apa yang kita lakukan itu berada di dalam syara’(tidak melanggar apa yang Allah larang).
Keduanya: Ikhlas.
Maka adalah mustahil untuk kita berada di dalam syara’, berada di dalam batas-batas yang Allah benarkan dan tidak pula melaksanakan larangan-laranganNya, bergerak pula dengan ikhlas, tanpa mempunyai hubungan dengan Allah SWT.
Jelas di sini, kepentingan untuk terbinanya hubungan kita dengan Allah SWT, dalam urusan membina blog dan menggerakkannya. Sebab, tanpa Hubungan yang bersih antara kita dengan Allah SWT, mustahil kita akan berada dalam ruangan amal islami. Kita mungkin akan tersasar keluar daripada jalan yang sebenar.
“Tidak akan berzina seorang penzina itu sekiranya di kala dia berzina itu dia berada dalam keimanan. Tidak akan mencuri seorang pencuri itu sekiranya di kala dia mencuri itu dia berada dalam keimanan. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak itu sekiranya di kala dia meminum arak itu dia berada dalam keimanan.” Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, An-Nasa’ie, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad.
Maka seorang penulis blog, tidak akan menulis sesuatu yang sia-sia, yang mungkar, yang boleh membawa kepada dosa, sekiranya ketika dia menulis blog itu dia mempunyai hubungan dengan Allah SWT.

Allah adalah yang menyampaikan
Seorang blogger da’ie semestinya mahu penyampaiannya sampai kepada pembaca-pembaca. Meresap masuk ke dalam jiwa mereka, sekaligus memberikan impak baik dari segi fikiran dan juga amalan. Kadangkala, ada blogger yang tertanya-tanya apakah resepi utama untuk penyampaiannya memberikan kesan yang besar kepada pembaca-pembacanya. Pelbagai usaha telah dilakukan. Lenggok bahasa sudah dicantikkan, dalil telah diperkuatkan, tetapi apakah sebenarnya yang mampu ‘menyampai’kan apa yang kita sampaikan itu kepada pembaca-pembaca kita?
Itulah dia Allah SWT.
Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk. Surah Al-Qasas ayat 56.
Maka adalah mustahil kita mampu menyampaikan kebaikan, hidayah Allah SWT ini, tanpa kita berhubungan denganNya. Jangan sesekali kita lupa bahawa, kita hanyalah pengusaha. Allah jugalah yang menyampaikannya. Justeru, hubungan baik dengan Allah SWT adalah amat penting bagi seorang blogger yang ingin melakukan kebaikan dengan blog/websitenya.
Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki-Nya.” Surah Al-Baqarah ayat 272.
Justeru, blogger-blogger sekalian, bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT?

Putus hubungan dengan Allah, terputuslah hubungan jiwa kita dengan manusia
Bila hubungan kita dengan Allah SWT goyah, maka akan goyahlah hubungan kita dengan manusia. Apatah lagi manusia-manusia yang kita belum lagi kenal dan berjumpa(pembaca dan pelawat blog).
Apakah yang memutuskan hubungan kita dengan Allah SWT?
Itulah dia dosa. Baik dosa dari segi amal perbuatan, yang boleh dilihat jelas dengan mata seperti mencuri, berbohong, melihat perkara lucah, mengeji orang lain, mahupun yang tersembunyi seperti takabbur, riya’, ujub dan sebagainya.
Blogger yang mahu menjadikan blog/websitenya sebagai medan kebaikan, medan ibadah, akan menjaga perkara-perkara ini. Sebab sekiranya mereka sendiri tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT, dari manakah hendak ditimbulkan kekuatan untuk mengajak manusia lain kepada Allah SWT?
“Orang yang tiada apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.”

Dan bukan menanti sempurna
Dan bukanlah bermaksud di sini, kita perlu berhubungan dengan Allah mantap-mantap macam para Nabi, Malaikat, barulah boleh menulis di blog, menjadikan blog/website kita tempat kebaikan. Bukan dan bukan.
Tetapi artikel ini adalah untuk kita sekurang-kurangnya berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu. Kita sendiri, bukan mengajak kepada kebaikan kerana kita telah menjadi baik, telah sempurna. Bukan dan bukan. Kita mengajak manusia lain kepada kebaikan adlaah kerana kita yakin dengan jalan ini, dengan agama ini, dengan kebaikan ini, dan untuk mereka bersama kita, sama-sama pergi ke arah kebaikan tersebut.
Justeru, janganlah pula artikel ini melemahkan.
Bahkan, inilah artikel untuk menguatkan.

Penutup: Maka perhatikanlah hubunganmu dengan Allah SWT
Maka kita perhatikan hubungan kita dengan Allah SWT.
Ibadah-ibadah khusus kita, amalan-amalan kita. Apakah perintah Allah SWT telah kita usahakan dengan bersungguh-sungguh? Apakah larangan-laranganNya telah kita usaha tinggalkan sungguh-sungguh?
Percayalah cakap saya. Sekiranya kita tidak berusaha menjaga hubungan denganNya, kita akan keletihan mengajak kepada kebaikan. Kerana kita tahu, kita sedang bergerak berlawanan arah dari apa yang kita ajak.
Tetapi sekiranya kita berusaha menjaga hubungan denganNya, kita tidak akan keletihan mengajak manusia lain kepada kebaikan. Kerana kita telah merasai kemanisannya.
Mari, bergerak bersama-sama.
Menjadikan blog/website kita pentas penyampaian hidayahNya.

No comments: