Thursday, September 8, 2011

Renungan:Mengutamakan Sahabat


Ibnu al-Mubarak dalam laporannya menyebutkan:
Suatu hari, Umar Al Khattab RA mengambil sejumlah 400 dinar wang dan dimasukkan ke dalam uncang. Dia berkata kepada pelayannya, “Pergilah dan berikan wang ini kepada Abu Ubaidah bin Jarrah!”
Pelayan itu pun pergi menemui Abu Ubaidah Ibnu Jarrah RA dan berkata, “Amirul Mukminin berpesan kepadamu agar menggunakan wang ini untuk memenuhi keperluanmu.”
“Semoga Allah menjalinkan hubungannya dan merahmatinya!” kata Abu Ubaidah.
Pelayan itu menunggu beberapa ketika untuk mengetahui apa yang akan diperbuat Abu Ubaidah dengan wang tersebut.
Abu Ubaidah memanggil hamba perempuannya lalu berkata, “Berikan 7 dinar ini kepada si polan, dan 5 dinar ini kepada si polan, kemudian si polan ini…!” (dan seterusnya sehingga habis kesemua wang tersebut).
Pelayan Umar kembali dan memberitahu apa yang baru dilihatnya kepada Umar. Pada saat kepulangannya itu, kelihatan Umar sedang mempersiapkan wang dengan jumlah yang sama untuk diberikan kepada sahabat yang lain, Muadz bin Jabal RA.
Pelayan itu pun pergi menemui Muadz bin Jabal RA dan berkata, “Amirul Mukminin berpesan kepadamu agar menggunakan wang ini untuk memenuhi keperluanmu.”
“Semoga Allah menjalinkan hubungannya dan merahmatinya!” kata Muadz.
Pelayan itu menunggu beberapa ketika untuk mengetahui apa yang akan diperbuat Muadz dengan wang tersebut.
Ternyata Muadz membahagikan harta pemberian Amirul Mukminin tersebut kepada fakir miskin, hingga hampir habis wang tersebut. Tiba-tiba muncul isteri Muadz dan berkata, “Demi Allah, kami semua ini miskin, berikanlah sedikit kepada kami!”
Ternyata dalam uncang tersebut masih tinggal 2 dinar, lantas diberikan Muadz kepada isterinya. Yang lain telah habis diberikan kepada fakir miskin.
Pelayan itu kembali kepada Umar memberitahunya apa yang dilihatnya di rumah Muadz dengan wang tersebut.
Umar tersenyum gembira lalu berkata, “Mereka semua, antara satu sama lain adalah benar-benar saudara!”
Pesanan kami: Apakah kita sudah mencapai tahap ini dalam bersahabat? Mari kita sama-sama hayati dan  amalkannya…

2 comments:

CikGu Ma said...

saya sayang kawan2..tapi diri dilupakan...agak terkilan..

Husna Mujahidah said...

moga cekgu terus tabah menghadapi hari-hari yang akan datang ...saya pun sayang kawan2 ..mcam cikgu jugak ...saya pun terkilan~tapi nak wat cmne kn ?kalau orang da tak suka kita kene terima seadanya ...dengan hati terbuka~insya-Allah ..