Friday, May 20, 2011

Ia Hanya Melunturkan Semangatmu




Oleh : BroHamzah


Jika kita lihat, disekeliling kita sama ada kanan atau kiri kita – tidakkah kita menyaksikan bahawa berapa ramai manusia yang kini sedang ditimpa dengan pelbagai musibah dan bencana?

Dan jika kita amati dan selusuri dengan mata hati, di setiap rumah, disetiap kediaman, disetiap tempat pasti akan ada yang merintih kehibaan, dan setiap pipi yang kering akan pasti basah dengan air mata.
Berapa ramai manusia yang kini sedang hebat diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk ujian dan dugaan sehingga segala ujian yang menghimpit dada mereka telah menyebabkan segala jiwa dan hati mereka yang dahulunya kuat dan tabah kian luntur dan menjadi lemah.
Dan akhirnya, kebanyakan manusia memilih untuk bersedih, berduka dan akhirnya ada yang berputus asa. Ya, berputus asa sehingga memilih jalan yang salah untuk terus menamatkan riwayat hidup mereka sendiri.
Tatkala saya menulis perkongsian ini, saya sendiri umpama tiada upaya dan semangat seperti hari-hari yang sebelumnya. Jika dahulu terasa begitu kuat, bertenaga dan begitu bersemangat – saat ini entah mengapa seolah-olah saya kehilangan semua itu.
Saya sepatutnya menulis artikel Himmah ini dengan penuh rasa kekuatan dan penuh motivasi yang membara. Tetapi semua itu hilang dan tersirna pergi dibawa arus masa.  Sepanjang hari saya melihat dan menjalani waktu-waktu yang ada dengan seadanya.
Saya tidak dapat membohongi dan menidakan semua ini.
Saya cuba dan cuba membangkitkan semangat dan kemahuan dalam jiwa. Dan mengimbas semula segala apa yang saya lakukan dan laksanakan. Di manakah silapnya?
Lama saya merenungnya, dan saya mendapat satu signal yang jelas.
“ Saya adalah manusia dan insan yang lemah. Tiada upaya melainkan Allah SWT yang memberikannya.”
Saat ini, saya tiada upaya untuk menukilkan daripada hati dan jiwa. Saya ingin memohom maaf buat semua kerana inilah saya. Insan dan manusia yang sangat kerdil, hina lagi dhaif. Saya sedar bahawa sebelum ini yang memberikan kekuatan  adalah Allah SWT.
Usahlah berduka dan bersedih
Sebentar tadi saya mencapai buku karya Dr ‘Aid Abdullah al-Qarni, saya membelek-beleknya dan membacanya lagi. Saat ini, saya ingin ubat dan penawar duga buat diri. Saya terbaca sesuatu untuk diri saya :
“ Bersedih hati hanya akan memadamkan semangat, melemahkan keazaman dan membeku jiwa.”
“ Kesedihan adalah kawan rapat kecemasan.”
“ Kesedihan dapat membuatkan hidup menjadi keruh. Ia tidak ubah seperti racun berbisa bagi jiwa yang dapat menyebabkan ia lemah semangat, hilang ghairah dan kacau dalam menghadapi hidup ini.”
Bersedih hati  itu tidak disuruh dan ia tidak mendatangkan manfaat.
Bersedih itu dilarang. Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“ Dan janganlah kamu merasa lemah dan jangalah kamu berduka cita (terhadap apa yang menimpa kamu).”
( Ali Imran (3) : 139)
Terasa kekuatan mulai menyapa relung-relung jiwa dan memberikan sentuhan rasa dalam hati ini.
” Ya Allah, lenyapkanlah dukacita kami, hilangkanlah kesedihan kami dan halaulah keresahan dari jiwa kami.”
Tersenyumlah

Di dalam saat begitu, antara perkara yang sukar dilakukan ialah tersenyum. Saat ditimpa bencana, masalah dan diulit kekecewaan – terasa tawar untuk mengukirkan sekuntum senyuman yang indah. Jika tersenyum, ianya hanyalah lakonan yang dipenuh wajah kepura-puraan.
Keruh, muncung dan masam durjana!
Ketika ini, Rasulullah SAW mendidik kita.
“ Tersenyumlah, kerana ianya adalah sedekah.”
“ Sekalipun engkau hanya menjumpai saudaramu dengan wajah berseri.”
Dalam sebuah kitab, Faidhul Khathir, Ahmad Amin menjelaskan seperti berikut : “ Orang yang murah tersenyum dalam mengharungi hidup ini bukan sahaja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga orang yang paling mampu berbuat kebaikan, orang yang paling mampu memikul tanggungjawab, orang yang paling tabah menghadapi kesusahan dan menyelesaikan masalah dan orang yang paling dapat mewujudkan hal-hal yang mendatangkan manfaat bagi dirinya sendiri dan orang lain.”
Saya tersedar. Kenapa perlu cepat mengalah dan terus membiarkan diri saya sebegini. Bukankah kehidupan ini perlu diteruskan dan dilalui dengan ketabahan dan kecekalan. Malah ia harus diwarnai dengan senyuman yang indah dan menawan.
Terubat hati.
Bibir saya bagaikan tersenyum sendirian dengan ungkapan ini.
“ Sebenarnya semua orang sangat memerlukan senyuman, wajah yang selalu berseri, hati yang lapang, akhlak yang menawan, jiwa yang lembut dan pembawaan yang tidak kasar.”
Saya bagaikan disentap sesuatu. Hati saya tergerak untuk berkongsi sesuatu dengan para pembaca Langit Ilahi,
Ya tugasan mingguan  saya harus diselesaikan saat ini juga.
Saya mulakan dengan hati yang kuat.
” Ya Allah, sejukkanlah gejolak hati ini dengan salji keyakinan dan padamkanlah bara di jiwa dengan air keimanan.”
Saya membuka laptop dan jejari saya mulai bergerak pantas di keyboard, lantas saya menaip :
“ Ia hanya melunturkan semangatmu!.”

1 comment:

BUJANG SUSAH said...

Assalamualaikum... Salam ziarah dari sahabat.. nice blog n good entry..

Sedikit tips dan info buat teman2 bloggers.. perkara remeh yg kita kurang perasan .. tengok jgn x tengok.. sila klik disini dan klik disini. Juga tutor 4 the latest read more klik disini.
Semoga bermanfaat insyaAllah.."Sebaik-baik manusia ialah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain"(Hadis riwayat Al-Qudhi).

"SAMPAIKAN WALAU SATU AYAT"

P/S: Sedikit perkongsian dan renungan buat sahabat dan diri sendiri dari hamba yang hina jua serba kekurangan ini... sila klik
DISINI

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Wallahualam.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran". - Surah Al-Asr:1-3.

Blog anda bagus dan bermanfaat...!!! Teruskan menulis dan memberi info.. Semoga sejahtera dan sentiasa diberi keberkatan olehNya.. wassalam.