Wednesday, February 23, 2011

Motivasi drpd Cinta

Cinta itu adalah ....

Orang kata, cinta itu ada kuasa istimewa. Cinta boleh membuatkan orang kuat untuk mencapai sesuatu di dalam kehidupannya. Ada seorang lelaki yang bercinta dengan seorang wanita pernah berkata kepada saya bahawa, segala perubahan ke arah kebaikan di dalam kehidupannya berlaku adalah kerana cintanya kepada seorang perempuan.
Dan tidak kurang juga yang jatuh dari kebaikan kepada keburukan, kerana cinta. Tetapi oleh kerana biasanya manusia akan ‘mabuk cinta’, maka saya suka nak fokuskan kepada cinta yang memberikan motivasi untuk bergerak ke arah kebaikan. Sebab biasanya, tidak akan ada manusia yang hendak mengaku bahawa cintanya membawa kepada keburukan.
Dan kalau diberikan kepada saya, saya sendiri akan menyatakan bahawa apa yang dinamakan ‘Cinta’ itu, memang tidak akan memberikan apa-apa melainkan kebaikan semata-mata.
Jadi, di sini kita duduk sebentar dan melihat.
Motivasi itu membawa ke arah….
Beberapa orang yang bercouple, atau dengan mudahnya saya terjemahkan sebagai ‘bercinta di luar batasan syara’, berusaha keras membuktikan bahawa hubungan mereka tidak mendatangkan apa-apa melainkan kebaikan.
Mereka akan berusaha untuk sama-sama cemerlang di dalam peperiksaan agar mampu membuktikan bahawa ‘couple’ mereka itu adalah satu perbuatan yang benar dan tidak ada padanya keburukan.
Bahkan, ada juga yang cuba membuktikannya dengan menunjukkan perubahannya ke arah peningkatan rohaniah, seperti semakin rajin membaca Al-Quran, semakin rajin ke masjid, semakin rajin bangun qiamullail dan sebagainya.
Mereka menyatakan bahawa, cinta mereka tadi memotivasikan mereka.
Tetapi saya melihat, mereka becinta dengan cara yang saya sendiri tak namakannya sebagai ‘cinta’. Namun oleh kerana masyarakat suka menamakan itu sebagai cinta, maka di sini saya pakai perkataan cinta, atau membawa maksud sebagai ‘hubungan di luar batasan syara’. Pendek kata, cinta mereka berjalan dengan perjalanan yang tidak berada dalam pagar-pagar syara’.
Keluar berdua-duaan, perbualan tanpa batasan dan terketeikatan dengan syara’, bahkan ada yang berpegang-pegangan tangan, bergesel badan, dan tidak kurang juga yang menggunakan pelbagai ‘pertahanan syara’ seperti alasan menjadi ‘muroqib’(istilah penjaga bagi menemani perempuan yang keluar berjalan di timur tengah ini), alasan berhubungan sebab program dan sebagainya namun isi perhubungan itu penuh dengan pelanggaran-pelanggaran batas yang sepatutnya. Belum dikira dengan pelanggaran batas syara’ secara persendirian seperti menampal gambar pasangan yang masih belum sah itu di dinding, di dalam buku dan sebagainya, melihatnya berkali-kali kononnya melepas rindu yang terbuku di dalam hati, dan bermacam-macam lagi.
Dan mereka menyatakan, hubungan mereka itu benar, tiada salahnya, atas pembuktian kecemerlangan dalam bidang akademik, dan juga pembuktian peningkatan ‘rohaniah’ mereka sebentar tadi.
‘Pause’
Saya menekan butang ‘pause’ agar yang berfikiran demikian boleh ‘berhenti sebentar’ dari berfikiran demikian dan melihat satu pandangan lain. Saya tidak kisah sama ada pandangan ini akan diterima atau ditolak, akan dipuji atau dihentam, sekurang-kurangnya selepas butang ‘play’ ditekan, dan diri kita masing-masing meneruskan kehidupan, maka terlepas sudah daripada bahu saya tanggungjawab memberikan peringatan.
Jadi, ‘pause’ ya. Biar saya sahaja yang bergerak.
:-)
Melihat semula kepada satu pengakhiran yang hakiki
Oleh kerana kita menekan butang ‘pause’, maka semuanya terhenti. Masa kini terhenti. Hubungan kita dan dia, bersama-sama ‘Cinta Yang Memotivasikan’ tadi turut terhenti. Lihat sebentar kepada apa yang kita namakan cinta tadi. Hubungan yang dikatakan tiada keburukan tadi. Pembuktian-pembuktian kita tadi.
Baik. Sudah lihat? Sekarang saya hendak menekan butang ‘fast forward’. Kita hendak pergi ke pengakhiran. Oh, oh, bukanlah pengakhiran itu bermaksud hubungan tadi berjaya kekal ke alam perkahwinan atau tidak. Bukan dan bukan.
Pengakhiran yang saya maksudkan adalah pengakhiran yang sebenar.
Akhirat.
Agak-agak, ‘hubungan Cinta Yang Memotivasikan’ kita tadi akan pergi ke mana?
Sebelum saya menjawab, maka dengan seronoknya saya menukilkan satu hadith yang mana hadith ini sentiasa diletakkan di dalam bab yang pertama dalam banyak kitab-kitab hadith. Mengapa diletakkan di tempat yang pertama? Kerana hadith ini menunjukkan bahawa, yang pertama itulah yang menentukan yang akhir. Apa yang pertama yang dimaksudkan itu?
Lihatlah hadith ini:
Daripada Amirul Mukminin Abi Hafsin Umar ibn Khattab RA bahawa dia berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabdaSesungguhnya setiap amal itu adalah dengan niat, dan sesungguhnya untuk setiap orang itu apayang diniatkan olehnya, barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya akan menuju kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia atas kesenangannya, atau perempuan untuk menikahinya, maka hijrahnya akan menuju kepada apa yang ditujunya(dunia dan perempuan tadi)”
Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari di awal Kitab Sohihnya, dan di dalam Al-Iman(Bab Apa yang datang dengan amal bersama niat yang baik dan untuk setiap manusia itu apa yang diniatkan olehnya) dan di lima lagi tempat yang lain di dalam Kitab Sohihnya. Dan Muslim juga meriwayatkannya di dalam Al-Imazah(Bab Sabda SAW: Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat) dan diriwayatkan juga oleh Abu Dawud dalam kitab At-Talaq dan Tirmidzi dalam Kitab Fadho’il Al-Jihad dan Ibn Majjah dalam Kitab Az-Zuhd dan An-Nasai dalam Kitab At-Toharoh dan Daruqutni dan Ibn Hibban dan Al-Baihaqi.
Kita menekan butang ‘rewind’ hinggalah ke tempat kita menekan ‘pause’ tadi. Oh, kita lihat akan kecemerlangan akademik yang kita canangkan sebagai pembuktikan ‘kebaikan cinta kita’ tadi. Oh, kita lihat juga akan peningkatan rohaniah yang kita nyatakan sebagai bukti ‘kebersihan cinta kita’ tadi. Dan kita lihat sekilas ‘bagaimana kita bercinta’ pula, dan kemudian kita pergi kepada ‘sebab berlakunya peningkatan dan kecemerlangan’ tadi.
Kemudian sekali lagi kita menekan butang ‘fast forward’ menuju ke pengakhiran yang hakiki. Agak-agak kita berakhir di mana?
Dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia atas kesenangannya, atau perempuan untuk menikahinya, maka hijrahnya akan menuju kepada apa yang ditujunya(dunia dan perempuan tadi)”
Pendek kata, kita akan ke neraka Allah SWT. Kecemerlangan kita, solat kita, qiamullail kita, bacaan Al-Quran kita, semuanya terbina bukan atas keimanan kita kepada Allah SWT. Tetapi terbina atas satu perkara yang tidak syara’. Maka kita akan pergi ke arah apa yang kita niatkan tadi. Kita akan pergi ke arah ‘sebab mengapa peningkatan itu berlaku’ tadi. Kita tidak akan pergi kepada Allah SWT.
Ya, itulah pengakhiran kita.
Jika terus dengan apa yang kita namakan cinta tadi.
Saya masih bersetuju bahawa ‘cinta’ itu memotivasikan
Tetapi, saya tetap bersetuju bahawa ‘cinta’ itu memotivasikan. Ah, saya tidak bercakap akan cinta tadi. Jika perasaan, ada perbezaan ‘cinta’ yang saya sebutkan, dengan cinta yang orang selalu sebut. Sebab itu pada saya, ‘cinta’ ini kekal suci dan bersih, dan tidak akan memberikan apa-apa keburukan kepada yang menjalankannya.
Hal ini kerana, definisi ‘cinta’ saya adalah: “Hendak bersama dengan dia ke syurga.”
Iya. Itulah dia ‘Cinta’ pada saya. Selain definisi itu, saya tidak akan menerimanya.
Pada saya, apabila kita hendak bersama dengan seseorang itu ke syurga, maka kita akan termotivasi untuk menjaga syara’ seketat yang kita boleh, semampu yang kita mampu. Pada saya, apabila kita hendak bersama dengan seseorang itu ke syurga, kita memang akan studi sungguh-sungguh sebab kita tahu pemalas dan culas bukanlah ciri-ciri orang yang akan masuk syurga. Pada saya, apabila kita hendak bersama dengan seseorang itu ke syurga, kita memang akan berusaha mempertingkatkan rohaniah kita, ibadah kita, akhlak kita, kerana jelas kepada kita bahawa itulah dia ciri-ciri ahli syurga.
Dan pada masa yang sama, kita akan menjaga hubungan kita dengannya agar tidak termasuk di dalam hubungan kita ‘ism-ism yang tidak syara’ yang mampu melemparkan kita dan dia ke neraka Allah SWT. Maka, segala apa yang tidak syara’, yang Allah larang, tidak akan kita masukkan di dalam hubungan kita dengan dia.
Itulah dia ‘Cinta yang memotivasikan’ buat saya.
Nak masuk syurga dengan dia, adalah Cinta Yang Memotivasikan, dan Cinta Yang Tiada Keburukan Di Dalamnya. :-)
Apakah mungkin ahli syurga terdiri daripada mereka yang tidak merasakan apa-apa dengan dosa, dan tidak bersegera pulang kepada Allah SWT? Mustahil.
Penutup: Tekan butang ‘play’
Itulah dia. Saya menulis artikel ini pada 14 Februari, pada hari orang ramai menyambut Valentine’s Day. Kononnya hari ini adalah menifestasi cinta. Saya yakin, ada sahaja perempuan yang kehilangan daranya hari ini kerana kononnya itulah dia terjemahan cintanya. Belum dikira yang melanggar batas-batas syara’ yang kononnya ringan seperti pegang tangan, dating berdua, bergesel badan dan sebagainya.
Tetapi itu semua membawa kita ke mana?
Bukan ‘dapat kahwin dengan dia atau tak dapat’ yang kita risaukan. Saya tidak pernah mengambil ukuran ‘dapat kahwin dengan dia atau tak dapat’ sebagai ukuran kejayaan sesuatu percintaan.
Tetapi kejayaan sesuatu percintaan itu pada saya adalah, ‘berjaya ke syurga bersama-sama dengan dia, atau tidak’. Itu dan itu sahaja.
Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW mencintai kita.
Bukankah dia membawa kita ke syurga dan mencegah kita daripada neraka?
Itulah dia ‘Cinta’.
Jadi, saya telah menekan butang ‘play’.
Bergeraklah kita masing-masing dalam kehidupan sendiri. Sama ada mahu hidup dengan pandangan saya tadi, atau kekal dengan ‘cinta yang di awal tadi’, terpulang kepada diri sendiri.
Allah, saksikanlah bahawa aku telah menyampaikan.

No comments: